Mudahkan faraid harta

Oleh Dr Norsuhaida Che Musa

BUKAN senang nak bercakap dan berbincang dengan pasangan atau keluarga semasa hidup mengenai harta jika tabu seperti kenapa nak sangat buat wasiat atau hibah, macam nak saya mati cepat sahaja? Bila dah meninggal dunia pula tanah kubur masih merah dah nak cakap pasal harta. Semua serba tak kena. Tetapi yang hidup atau sudah meninggal dunia tetap perlu melunaskan hak-haknya.

Pertama, boleh kita senaraikan harta yang kita ada. Sedikit atau banyak tidaklah menjadi hal utama. Senaraikan dulu. Menyenaraikan harta adalah satu perkara asas dalam perancangan pewarisan.

Menyenaraikan harta sama seperti menyenaraikan waris, iaitu memerlukan dokumen sokongan cuma berlainan sedikit seperti geran tanah, perjanjian jual beli, geran kenderaan, buku akaun simpanan bank, penyata kewangan, sijil akaun pelaburan, sijil simpanan premium dan sebagainya.

Butiran yang perlu diletakkan ialah perihalan jenis harta, nombor keterangan harta (seperti nombor geran, nombor akaun, nombor plat kenderaan dan nombor unit saham amanah), bahagian pemilikan dan nyatakan sama ada masih bercagar atau tidak.

Harta yang tidak bergeran juga boleh disenaraikan supaya waris dapat kenal pasti yang mana satu harta kita. Menyenaraikan harta juga adalah satu sesi muhasabah berkaitan apa yang kita telah perolehi, bagaimana digunakan dan adakah cukup untuk waris warisi.

Sekarang dah nampak senarai harta kita kan? Ada yang siap menggeleng kepala, kenapalah tak buat sebelum ni. Tak mengapa, sekarang dah faham kan? Boleh mula bertindak. Apabila kita dah masukkan senarai harta, kita buat pula senarai hutang.

Menyenaraikan hutang ini adalah satu amalan yang penting dalam memastikan supaya pengurusan kita berjalan dengan lancar. Hal ini adalah memudahkan waris untuk mengenalpasti orang yang kita berhutang semasa proses tuntutan hutang.

Di samping itu, menyenaraikan orang yang berhutang dengan kita juga penting supaya waris boleh mengutip hutang tersebut dan mengumpulkannya bersama harta pusaka yang lain untuk diuruskan.

Kita perlu menyenaraikan hutang dan orang yang berhutang dengan butiran yang lengkap seperti nama, tujuan hutang, jumlah, tarikh dan sebagainya.

Jika hutang tersebut dalam tempoh masa panjang, kemas kini jumlah hutang boleh dibuat secara enam bulan sekali. Jika hutang yang melibatkan individu, amat digalakkan kita menyediakan dokumen/ perjanjian hutang secara ringkas dan disaksikan dua orang saksi.

Segala dokumen sokongan berkaitan hutang dan orang yang berhutang hendaklah dimasukkan di dalam fail pewarisan peribadi.

Sekarang dah nampak kan? Senarai harta dan hutang? Jadi ada pelbagai rasa sekarang kan? Mula termenung? Mula rasa teruja juga kan? Kadang-kadang kita terlalu penat untuk berusaha dan bekerja sehinggakan kita bertangguh dalam menguruskan fail pewarisan sendiri.

Peringkat seterusnya setelah kita senaraikan aset, harta dan hutang, langkah seterusnya adalah menyenaraikan waris faraid. Dalam perancangan pewarisan, faraid adalah perkara utama yang perlu difahami sebelum merancang pewarisan.

Maka, apabila menyenaraikan waris, kita juga perlu kepada analisa struktur faraid kita. Pada fasa ini, kita akan mengetahui siapa di kalangan waris kita yang akan mewarisi pusaka kita, berapa bahagian yang mereka perolehi dan apa yang berlaku jika ada di kalangan waris kita yang meninggal dunia sebelum/selepas kita.

Perkara penting yang perlu disenaraikan adalah:

1. Nama penuh waris,

2. Nombor kad pengenalan waris

3. Hubungan dengan waris

4. Sediakan dokumen sokongan berkaitan seperti salinan kad pengenalan waris, salinan surat beranak, sijil nikah /sijil perceraian, sijil mati waris (jika ada waris yang telah mati lebih awal).

Hal ini amat penting kerana semasa di peringkat pengurusan pusaka butiran waris adalah amat penting semasa proses permohonan tuntutan pusaka. Maka untuk mengelakkan proses tertangguh dan lewat dimulakan, perkara ini perlu dibuat dengan betul dan lengkap.

Sekarang apabila dah nampak senarai waris barulah kita boleh merencanakan senarai hasrat dan keinginan kita untuk membuat pembahagian terhadap pusaka yang akan ditinggalkan.

Ada harta yang ingin diberikan kepada pasangan, ada harta yang ingin diberikan kepada ibu ayah, anak lelaki, anak perempuan, cucu dan sebagainya.

Sekali lagi fasa ini perlu dipandu oleh mereka yang arif dalam perancangan pewarisan seperti peguam atau perancang harta dan pusaka supaya hasrat kita menyenangkan waris dan mengikut lunas undang-undang dan syarak.

Merancang hasrat juga sangat perlu supaya perancangan pewarisan kita bukanlah semata-mata untuk lari dari faraid dan memandang faraid itu tidak adil dan berat sebelah.

Semasa fasa ini, pelbagai instrumen pewarisan yang kemungkinan akan digunakan seperti surat wasiat, dokumen pengisytiharan hibah, surat ikatan amanah, solusi syarikat amanah, takaful dan sebagainya.

Dokumen pewarisan ini hendaklah disimpan di dalam fail pewarisan ini supaya terkumpul dan memudahkan waris untuk rujukan akan datang.

Dalam menguruskan dokumen pewarisan ini, wasi perlulah dilantik sama ada di kalangan individu atau syarikat amanah supaya pengurusan pusaka dapat dibuat dengan cepat. Lantikan yang disarankan ialah di kalangan individu yang rapat dengan kita yang mengetahui berita kematian kita.

Wasi di sini adalah individu yang akan memulakan segera proses pusaka. Wasi perlu merujuk kepada mereka yang ahli dalam pengurusan pusaka seperti peguam, perunding harta pusaka, syarikat konsultan harta atau syarikat amanah.

Dua orang yang perlu dilantik supaya jika salah seorang tidak bertindak, seorang lagi boleh memulakan proses. Proses hendaklah dimulakan semasa ahli waris masih berkumpul bersama sebelum pulang ke tempat masing-masing. Tujuan berkumpul lebih awal adalah perbincangan pusaka dapat dibuat segera.

Lantikan perlu melalui wasiat dan surat lantikan oleh pewaris dan disertakan dengan tugas yang perlu dilakukan. Pelantikan ini adalah bertujuan juga untuk menggalakkan kerjasama di kalangan waris apabila pengurusan pusaka hendak dimulakan.

Di samping melantik individu yang dipercayai sebagai wasi, pemilik harta juga boleh melantik syarikat amanah sebagai wasi jika perlu.

Seterusnya sediakan dana tidak terbeku untuk pengurusan pusaka. Dana tidak terbeku atau dipanggil dana pantas adalah satu dana yang boleh dikeluarkan selepas kita meninggal dunia tanpa memerlukan surat kuasa mentadbir. Berbeza dengan aset yang lain, dana ini boleh dikeluarkan atau dicairkan dalam tempoh yang cukup singkat iaitu 2 hingga 4 minggu sahaja dari tarikh permohonan.

Penamaan hendaklah dinamakan orang yang sudah melebihi umur 18 tahun, waras akal, boleh dipercayai dan seeloknya penama adalah wasi yang dilantik kerana salah satu tugas wasi ialah mengumpulkan harta pusaka arwah.

Fungsi dana ini ialah untuk menampung kos penngebumian, membayar hutang Allah, melunaskan hutang manusia termasuk kos pengurusan pusaka dan untuk kos sara hidup waris.

Jumlah dana pantas yang perlu disediakan bergantung kepada pewaris, tetapi minima yang perlu ada ialah sebanyak RM50,000.

Kesimpulannya, memulakan buat sendiri fail pewarisan adalah tindakan yang semua pihak sama ada masih bujang, berkahwin, berkeluarga perlu buat dengan menyenaraikan harta dan hutang serta hasrat bagaimana ingin uruskan harta telah memberi gambaran bagaimana harta selepas kematian akan diuruskan.

Penulis Pensyarah Kanan, Penyelaras Klinik Guaman, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

https://mykmu.net/2017/12/31/cukai-perlu-dibayar-walaupun-meninggal-dunia/

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker