Harga emas turun mendadak akibat penemuan vaksin Covid-19
Pengumuman mengenai penemuan vaksin Covid-19 yang memberi kelegaan kepada semua orang di dunia, termasuk di Malaysia menjadi faktor utama penurunan harga emas secara mendadak sejak kebelakangan ini.
Perunding pelaburan emas, Syukor Hashim berkata, dari awal Januari hingga Ogos lalu, berlaku trend kenaikan harga emas sebanyak 37% dan pernah melebihi RM300 segram, namun harga itu jatuh semula dan kini hanya RM256 segram.
“Punca harga emas naik itu disebabkan ancaman Covid-19 yang menjejaskan ekonomi seluruh dunia dan orang ramai tidak berani berbelanja yang secara tidak langsung menyebabkan pelabur memilih emas sebagai aset selamat.
“Namun, apabila berita vaksin Covid-19 dijumpai tersebar, ia dilihat sedikit sebanyak mengurangkan risiko ancaman Covid-19 dengan pakar ekonomi dan pelaburan berpendapat ekonomi dunia akan kembali pulih.
“Justeru, dalam situasi ini, emas dilihat hilang tarikan sebagai aset selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Media sebelum ini melaporkan orang ramai berpusu-pusu ke kedai emas untuk mengambil peluang membeli barang kemas sebagai simpanan pelaburan sehingga ada di antara mereka mengabaikan SOP Covid-19 semasa urusan jual beli di kedai.
Ditanya bila jangkaan penurunan harga emas ini akan berakhir, Syukor berkata, ia tidak boleh dijangka kerana ia dipengaruhi berita dari semasa ke semasa yang memberi kesan kepada naik turun harga emas.
“Sebagai contoh, bagaimana proses peralihan kuasa Amerika Syarikat antara Joe Biden dengan Donald Trump, sekiranya ada ‘drama’ antara mereka, harga emas boleh naik semula. Begitu juga implikasi berita politik mengenai Iran yang mendakwa saintis nuklearnya dibunuh Israel.
“Dengan kata lain, harga emas naik bukan berpunca daripada Covid-19 saja, tapi banyak faktor lain. Namun, faktor utama tahun ini adalah wabak itu,” katanya sambil menambah apa saja situasi yang berlaku di Malaysia langsung tidak mempengaruhi perubahan harga emas.
Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa kedai emas di sini mendapati orang ramai berkurangan pada hari biasa berbanding hujung minggu, namun masih ada yang mengambil peluang membeli barang kemas diidamkan.
Peniaga emas di Pusat Transformasi Bandar Keramat, Munirah Aqilah Mohd Zahari berkata, pekerjanya tak menang tangan pada hujung minggu, apabila kedainya diserbu orang ramai dan jumlah pelanggan 2 kali ganda berbanding hari biasa.
“Kejatuhan harga emas menyebabkan pembeli mengambil kesempatan menukar barang kemas lama dan ada juga yang mahu menempah yang baru sebagai simpanan pelaburan dan aksesori untuk dipakai.
“Walaupun jumlah pembeli ramai, SOP seperti penjarakan fizikal dalam kedai, nama dan suhu tetap direkod, mengambil kira situasi jumlah kes masih tinggi di negara ini.”
Katanya, walaupun harga emas turun dan ramai pembeli, namun keuntungan yang diperolehi tidak seperti semasa harga emas tinggi pada awal tahun.
Seorang lagi peniaga, Nik Ahmad Tarmizi Nik Hassan berkata, pada awal pemberian moratarium pinjaman dilaksanakan, ramai pembeli mengambil kesempatan menggunakan wang simpanan untuk membeli barang kemas, walaupun harga emas ketika itu mahal.
“Ramai pelanggan yang datang menggunakan duit yang sepatutnya mereka bayar pinjaman kereta atau rumah untuk membeli barang kemas sebagai pelaburan jangka panjang.” FMT