Kerajaan pertimbang cadang darurat di Gerik, Bugaya – Takiyuddin

Terkini di My KMU !!!!---->

Kerajaan akan mempertimbang untuk mencadangkan pengisytiharan darurat di Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah sekiranya kawasan itu mempunyai risiko penularan Covid-19, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata keputusan itu akan dibuat selepas merujuk kepada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sebagaimana kita maklum bahawa perkara ini di bawah peruntukan Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan dibenarkan sekiranya Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa sesuatu kawasan atau keseluruhan Malaysia ini boleh diisytiharkan darurat.

“Ini termasuklah apa yang dibuat dalam proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Yang di-Pertuan Agong bersetuju untuk isytihar darurat di kawasan itu menyebabkan ia (PRK) tidak perlu diadakan.

“Tindakan yang sama dijangka diberi pertimbangan oleh pihak kerajaan sekiranya suasana Parlimen Gerik dan DUN Bugaya mempunyai risiko yang sama setelah kerajaan merujuk kepada Kementerian Kesihatan dan MKN,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 18 Nov lepas, mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, yang sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi itu yang ditetapkan pada 5 Dis.

Pada 27 Nov, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Gerik dan DUN Bugaya dijalankan serentak pada 16 Jan 2021.

Menjawab pertanyaan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) ketika membahaskan rang undang-undang itu yang ingin tahu sama ada kerajaan akan mengisytiharkan darurat di Sarawak sekiranya DUN Sarawak dibubarkan, Takiyuddin berkata kerajaan akan mempertimbangkan perkara itu apabila tiba masanya.

Mengenai persoalan persiapan pilihan raya dalam suasana normal baharu, Takiyuddin berkata sebagai persediaan awal, SPR telah mengenal pasti petugas pilihan raya dan memulakan taklimat serta latihan kepada mereka yang terlibat.

Beliau berkata taklimat dan latihan itu meliputi proses pilihan raya yang baharu melibatkan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

“SPR juga menambah peralatan pencegahan Covid-19 seperti pelitup muka, pensanitasi tangan, peralatan perlindungan peribadi (PPE), alat pemeriksa suhu, sarung tangan getah dan seumpamanya. SPR juga sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan usaha pencegahan Covid-19 seperti Kementerian Kesihatan dan MKN,” katanya. Bernama

Kerajaan akan minta Agong isytihar darurat di Gerik, Bugaya

Leave a Reply