Hong Kong kuat kuasa semula penjarakan fizikal lebih ketat

Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam. - Foto AFP
Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam. – Foto AFP

HONG KONG: Kerajaan hari ini menguatkuasa semula langkah penjarakan fizikal pada beberapa tahap yang paling ketat di bandar itu sejak permulaan wabak COVID-19 ketika pihak berkuasa berusaha memerangi gelombang keempat jangkitan.

Hab kewangan itu mengekalkan sekatan ke atas perhimpunan dalam jumlah yang besar sepanjang tahun ini dan menutup pelbagai industri apabila kes meningkat.

Langkah berkenaan membantu bandar yang mempunyai 7.5 juta penduduk itu mengekalkan jumlah jangkitan kepada hanya lebih 6,000 kes, dengan 109 kematian.

Bagaimanapun, jangkitan harian meningkat melebihi 100 kes sejak beberapa hari kebelakangan ini, mendorong pihak berkuasa melaksanakan langkah yang lebih ketat, sama seperti ketika penularan wabak itu pada peringkat awal.



Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam, berkata sekatan baharu akan berkuat kuasa Rabu ini berikutan gelombang baharu COVID-19 melanda dengan sangat cepat.

Seramai 170,000 kakitangan awam di bandar itu akan bekerja dari rumah kecuali pekerjaan mereka dianggap sebagai keperluan penting dan Lam meminta pihak swasta supaya mengikut langkah sama seboleh mungkin.

Sekatan ke atas perhimpunan awam akan diperketatkan dengan maksimum dua orang dibenarkan untuk bertemu, berbanding empat sebelum ini manakala restoran pula boleh membenarkan maksimum dua orang duduk semeja.

Sekolah, bar dan kelab malam sudah diarahkan tutup, bagaimanapun sekatan baharu itu kini turut merangkumi kebanyakan tempat hiburan lain seperti bilik karaoke, taman hiburan dan rumah mahjong.



Gimnasium dan pusat kecantikan boleh terus dibuka, namun dengan mengehadkan jumlah pengunjung secara lebih ketat di setiap tempat atau kelas.

Lam berkata, keletihan melampau sudah berlaku dalam kalangan warga Hong Kong, sebuah komuniti yang mengambil serius masalah coronavirus ini sejak awal.

Pihak berkuasa merancang untuk meningkatkan denda serta merta ketika ini iaitu HK$2,000 (RM1,051) dan akan melancarkan talian hotline untuk penduduk melaporkan sebarang pelanggaran penjarakan fizikal.

Katanya, polis juga akan memainkan peranan lebih proaktif dalam menghentikan sebarang pelanggaran peraturan dan akan menyiasat tempat persendirian yang mengadakan pesta atau perhimpunan besar. – AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker