Perompak samun pula keluarga jurutera, selepas bunuh Dr Wan Hassan

Sebaran :

Dua lelaki tidak bertopeng memecah masuk menerusi tingkap bahagian dapur banglo dua tingkat milik Dr Wan Hassan di Bukit Bandaraya ketika kediaman itu terputus bekalan elektrik jam 3.30 pagi tadi
Dua lelaki tidak bertopeng memecah masuk menerusi tingkap bahagian dapur banglo dua tingkat milik Dr Wan Hassan di Bukit Bandaraya ketika kediaman itu terputus bekalan elektrik jam 3.30 pagi tadi

 

KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang menyamun Dr Wan Hassan Wan Embong, 71, sebelum menetak mangsa hingga mati, dikesan turut mendalangi satu lagi rompakan terhadap sebuah rumah di Taman Tiara Titiwangsa di sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, berkata selepas menetak mangsa, suspek merompak rumah jurutera berusia 34 tahun pada jam 5.15 pagi.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa bersama keluarganya sedang tidur sebelum suspek memecah masuk dan mengetuk pintu bilik serta mengarahkan mereka tidak melawan.

“Suspek turut mengugut akan menetak dan mencederakan mereka sebelum tangan diikat dengan kabel telefon dan mulut disumbat dengan kain.

“Suspek menyelongkar semua bilik dan membawa lari dua set televisyen, tiga komputer riba, dua telefon bimbit, rantai leher emas, gelang tangan emas dan wang tunai RM3,500,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, selepas kedua-dua suspek melarikan diri dengan seorang lagi rakan mereka berada di luar rumah.

“Siasatan mendapati mangsa tinggal bersama 14 orang iaitu adik-beradik dan ibu bapanya serta seorang pembantu rumah, namun kamera litar tertutup (CCTV) masih belum dipasang.

“Pihak forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hadir di tempat kejadian dan menemui lapan sampel cap jari yang mana suspek disyaki masuk melalui cermin tingkap sebelah kiri,” katanya.

Beliau berkata, semakan lanjut di sekitar tempat kejadian mendapati suspek membuang dompet dan dokumen ke kawasan semak di Jalan Tiara Titiwangsa 3, dan hasil semakan terdapat dokumen pengenalan diri pesara kerajaan yang dibunuh sebelum itu.

“Disyaki mereka menggunakan dua kenderaan dan bersenjatakan parang serta tukul besi untuk melakukan jenayah.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Media hari ini, melaporkan Dr Wan Hassan yang juga pesara Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), maut ditetak perompak yang menyamun kediamannya di Bukit Bandaraya di sini.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi tadi, rumah dihuni mangsa dan isteri Sarifah Yusof, 70, dipecah masuk dua lelaki bersenjata parang.

Suspek yang tidak memakai topeng meminta duit, menyebabkan mangsa cuba melawan sebelum ditetak di muka dan leher, manakala isteri mangsa ditetak di bahu kanan.

Doktor Maut Ditetak Perompak


Sebaran :

Leave a Reply