Kumpulan samun ‘RELA’ tumpas akhirnya

KLANG: Kegiatan satu kumpulan jenayah yang dipercayai baru bergiat aktif sejak dua minggu lalu dapat ditumpaskan dengan penahanan empat lelaki di daerah ini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata suspek pertama ditahan di sebuah rumah di Taman Sentosa pada jam 5.30 petang manakala tiga lagi suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Meru setengah jam kemudian.

“Hasil soal siasat tiga suspek mengaku terbabit dalam kes samun warga Nepal di Bayu Perdana, Klang pada hari yang sama sebelum diberkas. Dalam kejadian itu, mangsa kerugian wang tunai RM270, kad bank dan dua telefon bimbit.

“Semakan turut mendapati tiga daripada suspek memiliki rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis turut merampas kereta jenis Perodua Axia, sepasang pakaian celoreng Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), sehelai baju tentera dan empat telefon bimbit.

Shamsul Amar berkata, pihaknya percaya kumpulan berkenaan aktif melakukan jenayah samun sejak dua minggu lalu.

“Modus operandi suspek adalah menyewa kenderaan dan menyasarkan warga asing yang berjalan di kawasan sunyi untuk melakukan samun.

“Kesemua suspek berusia lingkungan 18 hingga 27 tahun kini direman enam hari hingga Rabu depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker