KKM mahu rakyat ‘biasakan yang betul, betulkan yang biasa’

Terkini di My KMU !!!!---->

Supaya patuhi SOP ketika hadiri perhimpunan di tempat awam

KUALA LUMPUR, 12 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – “Biasakan yang betul, dan betulkan yang biasa,” itu nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) kepada orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menghadiri sebarang jenis perhimpunan dan ketika berada di tempat awam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ingatan itu berikutan semakin banyak kluster terbentuk daripada perhimpunan sosial kebelakangan ini yang tidak mengikut SOP.

“Ini termasuklah perhimpunan besar-besaran yang melibatkan kaum keluarga, majlis keraian dan upacara keagamaan. Perhimpunan-perhimpunan ini telah turut dihadiri oleh individu-individu yang bergejala,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebagai contoh Kluster Enggor di Perak serta Kluster Indah Mas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, yang bermula dengan perhimpunan keluarga dan seterusnya telah merebak dalam komuniti.

Selain itu, Kluster Inai dan Kluster Jambul di Sabah adalah antara kluster yang berpunca daripada majlis keraian.

Kluster Mentari yang melibatkan Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula berpunca daripada upacara keagamaan membabitkan ahli keluarga serta kenalan yang hadir dalam satu upacara kematian di Nilai, Negeri Sembilan.

“Penjarakan fizikal sememangnya sukar diamalkan di kawasan yang sesak dan sempit namun mengambil iktibar daripada kejadian kluster-kluster ini, masyarakat dinasihatkan untuk akur dan patuh kepada nasihat yang diberikan. Ini bagi mengurangkan risiko jangkitan di dalam komuniti,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham meminta orang ramai supaya mematuhi SOP dalam semua keadaan dan di semua tempat memandangkan aktiviti perhimpunan yang dianjurkan tanpa pematuhan akan meningkatkan risiko penularan COVID-19 kepada orang ramai.

“…amat penting bagi kita sentiasa berwaspada dan berusaha melindungi diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat di sekeliling kita daripada mendapat jangkitan COVID-19,” katanya. – Bernama

Leave a Reply