Muhyiddin disaran kembali kepada Umno sekiranya ikhlas mahu melihat Melayu bersatu

Umno mengajak Tan Sri Muhyiddin dan seluruh saf kepimpinan Bersatu untuk kembali kepada pangkuan Umno bagi mengelakkan perpaduan Melayu dan penyatuan ummah menjadi retorik.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, hakikat dasar, orientasi dan ideologi Bersatu tidak ada bezanya dengan Umno kerana semuanya berasal dari ‘rahim’ yang sama iaitu Umno.

“Demi mengelakkan perpaduan Melayu dan penyatuan ummah menjadi retorik sebagaimana saranan Tan Sri Muhyiddin, saya merasakan sudah tiba masanya untuk Tan Sri bersama seluruh saf kepimpinan dan ahli BERSATU untuk kembali menyatu ke pangkuan UMNO.

“Hakikatnya dasar, orientasi dan ideologi Bersatu tiada bezanya dengan Umno, kerana semuanya berasal daripada rahim yang sama….Umno,” katanya melalui Facebooknya.

Beliau berkata, demi merealisaikan cita-cita besar ini kedua-dua parti itu hendaklah membuang segala keegoan serta melupakan sejarah hitam yang masih menghantui.

“Demi perjuangan memartabatkan Islam, Bangsa dan Tanahair yang suci ini. Demi masa depan anak cucu dan generasi.

“Maka, kita semua harus leburkan keegoan yang membelenggu diri, membenamkan sejarah hitam lampau yang masih menghantui dan mengorak langkah bersama bagi melakar sejarah baru yang memenuhi citra dan harapan ummah dan tuntutan wahyu Ilahi,”katanya yang turut melontarkan soalan kepada netizen sama ada bersetuju atau tidak pandangannya itu.

Terdahulu, Muhyiddin dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hari ini menyeru kepada semua pemimpin Melayu dan Islam untuk bersatu dalam sebuah jemaah yang besar di bawah Perikatan Nasional (PN).

Jika berpecah belah bagi Muhyiddin, seruan perpaduan Melayu dan penyatuan ummah akan menjadi retorik semata-mata.

Kerjasama UMNO PAS: Demi Kebaikan Rakyat Keseluruhannya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker