‘Kami tidak gentar’ – Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad

BUKIT KAYU HITAM: Insiden berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup yang mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, Selasa lalu, tidak menggentarkan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Panglima 2 Divisyen ATM, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad, berkata sebaliknya anggota pasukan terus bersemangat untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara.

“Kejadian itu tidak menyebabkan anggota kami gentar, malah akan terus melaksanakan tanggungjawab dan tugas dengan baik supaya negara tidak dicerobohi,” katanya pada sidang media di Kem 5 Rejimen Sempadan (5RS), di sini, hari ini.

Bagi tujuan sama, Arman Rumaizi berkata, ATM turut menjalinkan kerjasama erat dan sentiasa berkongsi maklumat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu, beliau melakukan lawatan ke 12 pos kawalan di sempadan Malaysia-Thailand membabitkan kawasan tanggungjawab ATM seluas 23 kilometer dari Bukit Kayu Hitam ke sempadan daerah Padang Terap.

Arman Rumaizi berkata, lawatan itu bertujuan melihat kesiapsiagaan anggota dalam kawasan Ops Pagar 2 di sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa meningkatkan kawalan bagi membanteras jenayah rentas sempadan, terutama penyeludupan ketum, dadah dan manusia.

Dalam pada itu, katanya, sebarang penambahan pos kawalan dan anggota bertugas di kawasan sempadan terbabit akan diteliti berdasarkan keperluan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker