PPBM cadang wujud majlis presiden dianggotai ketua parti PN, BN, GPS, GRS

PETALING JAYA: Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin, mencadangkan suatu Majlis Presiden diwujudkan yang dianggotai ketua-ketua parti dalam Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, dan Gabungan Rakyat Sabah.

“Ini penting kerana tidak semua ketua parti berada dalam Kabinet justeru menerusi mesyuarat ini ketua parti boleh menyalurkan pandangan masing-masing untuk dipertimbangkan dalam pelaksanaan dasar,” katanya pada Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-3 PPBM hari ini.

Katanya, mesyuarat secara berkala boleh diadakan untuk membincangkan perkara yang berkaitan dengan dasar ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain.

“Jadi, saya hendak beritahu semua perwakilan, hala tuju parti kita pada masa hadapan ialah untuk memperkukuhkan hubungan antara parti dalam PN, BN, GPS dan GRS. Inilah masa depan kita. Inilah jalan yang kita pilih,” tegasnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin mendedahkan pertemuan “hati ke hati” antara beliau dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

“Kami berbincang dari hati ke hati, bercakap secara terus terang. Kami sedar hubungan antara PPBM dan Umno mesti diperbaiki.

“Usaha mesti dibuat untuk mewujudkan keakraban antara PPBM dan Umno dari peringkat kepimpinan tertinggi hinggalah ke bahagian dan cawangan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, krisis politik yang berlaku pada awal tahun ini tidak semena-mena meletakkan PPBM dan Umno dalam saf politik yang sama.

“Daripada seteru politik di dalam PH, kita menjadi rakan sekutu dalam kerajaan. Saya tahu mungkin ada pihak yang tidak selesa dengan keadaan ini.

“Seolahnya, mereka dipaksa atau terpaksa untuk bekerjasama. Maka, timbullah bermacam-macam perkara yang tidak elok didengar dalam hubungan antara kedua-dua parti ini,” katanya dengan menyifatkan hubungan dingin antara PPBM dan Umno sudah terpahat dalam lipatan sejarah.

Perdana menteri juga mengakui kriris politik yang berlaku pada awal tahun lalu mempertautkan pimpinan politik Melayu dalam PPBM, Umno dan PAS dalam saf politik yang sama.

Justeru, beliau mengajak semua pemimpin Melayu dan Islam di negara ini supaya bersatu dalam sebuah jemaah yang besar berbanding berpecah dalam kabilah yang kecil, yang akan melemahkan parti itu sendiri.

Leave a Reply