Pemuda DAP jangan lupa daratan – Angkatan Muda Keadilan
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor Najwan Halimi menyifatkan kenyataan Pemuda DAP agar Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim memohon maaf serta ancaman untuk “berpisah” dengan PKR, sebagai keterlaluan.
Najwan mengulas kenyataan Setiausaha Pemuda DAP Teh Hong Keat yang mengkritik Anwar susulan arahannya agar ahli Parlimen pembangkang tidak menyokong undi belah bahagi untuk bacaan kedua Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, Khamis lalu.
Langkah itu dikritik pelbagai pihak di media sosial dan mencetuskan tuduh-menuduh dalam PH.
Menurut Najwan, Majlis Presiden PH telah memberi kepercayaan terhadap Anwar dalam usaha mengembalikan kerajaan PH dan maka para pemimpin parti perlu akur dengannya.
“Kita wajar menginsafi bahawa usaha tersebut bukan mudah. PH kehilangan kerajaan ketika Anwar tidak memegang apa-apa jawatan kabinet dalam tempoh 22 bulan pentadbiran.
“Oleh itu, adalah sangat tidak adil bila mana semua beban perlu ditanggung Anwar tatkala tangan dan kakinya diikat dari bergerak.
“Sikap begitu tidak lebih sebagai langkah membuli Anwar dan PKR sedangkan selama lebih 20 tahun, Anwar mendedikasikan perjuangannya untuk memperkukuh gabungan parti-parti pembangkang,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, katanya, Teh dan Pemuda DAP tidak harus cepat “lupa daratan” dengan kenyataan bernada sedemikian sebelum merujuk kepimpinan parti mereka.
Terdahulu, Anwar membangkitkan tanda tanya apabila mengarahkan ahli Parlimen pembangkang agar tidak meminta undi belah bahagi, yang memerlukan undian menyokong dan menolak Belanjawan 2021 dikira.
Undian itu boleh dianggap sebagai satu bentuk undi percaya kepada Muhyiddin Yassin dan akan menunjukkan tahap sokongan perdana menteri di Dewan Rakyat.
Pada September lalu, Anwar mendakwa dia mendapat sokongan yang cukup untuk menubuhkan kerajaan baru dan Muhyiddin telah hilang majoriti di Dewan Rakyat.
Kompromi saat akhir
Selepas sidang, Anwar berkata keputusan untuk tidak mengadakan undi belah bahagi adalah agar pembangkang tidak dilihat menolak sepenuhnya Belanjawan 2021 yang turut menyertakan tambahan bantuan kepada rakyat.
Katanya lagi, PH akan meminta undi belah bahagi di peringkat jawatankuasa, ketika Dewan Rakyat akan mengundi setiap peruntukan kementerian.
Bagaimanapun, sumber dalam PH memberitahu Malaysiakini keputusan Khamis lalu mungkin ekoran Anwar tidak dapat meraih cukup sokongan untuk menghalang Belanjawan 2021 daripada diluluskan.
Perubahan dan kompromi saat akhir oleh Muhyiddin dilihat telah memadamkan kemungkinan penolakan sesetengah pihak dalam Perikatan Nasional.
Usaha untuk menolak bahagian tertentu dalam Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa atau bacaan ketiga (undian terakhir) juga mungkin dapat memberi lebih masa untuk rundingan meraih sokongan.
You must be logged in to post a comment.