Adik Ipar Buat Onar

Terkini di My KMU !!!!---->

Kuantan: Tindakan seorang wanita mempercayai adik iparnya bagi menguruskan perniagaan katering membawa padah apabila lelaki itu ‘melarikan’ wang berjumlah RM31,250 yang dibayar oleh pelanggan.

Mangsa yang juga pengurus syarikat berkenaan berusia 51 membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong selepas menyedari wang berkenaan tidak diserahkannya sebaliknya dimasukkan ke dalam akaun syarikat suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa melantik suspek untuk bekerja dengan syarikatnya sejak 2014 dan semua urusan berkaitan tender makan diuruskan oleh suspek termasuk kewangan.

“Skop tugas suspek adalah mengambil tempahan makanan, mengeluarkan invois sebut harga makanan, menerima bayaran tempahan makanan daripada pelanggan serta menguruskan tempahan pelanggan sehingga selesai majlis.

“Dalam kes ini mangsa memberikan kepercayaan penuh memandangkan suspek juga adalah ahli keluarga terdekat sehingga tidak sedar adik iparnya itu mengeluarkan invois atas nama syarikatnya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, suspek juga meminta pelanggan yang menempah makanan membuat pembayaran secara langsung kepadanya melalui akaun syarikatnya.

“Bayaran yang diterima oleh suspek tidak diberikan kepada mangsa malah pengadu juga ada meminta bayaran, namun pelbagai alasan diberikan.

“Sepanjang tempoh 2019 sehingga 2020 beberapa tender tempahan makanan diuruskan oleh suspek dengan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM31,250,” katanya.

Mohd Wazir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.-HM

Rempuh kedai makan abang ipar dengan lori

Leave a Reply