Kayuh Basikal Jual Teh Masala

Kuala Lumpur: Tidak mudah berniaga dengan mengayuh basikal sambil membawa tong air panas berisi minuman teh Masala seberat 20 liter di sekitar Brickfields, di sini, setiap hari.

Namun, S Kavievanan, 23, cekal mencari rezeki dengan konsep perniagaan sebegitu walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

Baginya, ia satu cabaran dalam mencari rezeki selain menimba pengalaman sementara menunggu peluang pekerjaan dalam bidangnya.

“Konsep dan idea perniagaan ini muncul selepas saya tamat pengajian Februari lalu di Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

“Saya bermula pada awal Mei lalu dengan menjual minuman teh Masala dengan harga RM1 secawan bermula jam 3 hingga 5 petang.

“Pada awalnya saya hanya dapat menjual 30 cawan sehari dan selepas dua bulan hasil jualan semakin meningkat kepada 100 cawan sehari,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, dia tidak pernah berasa malu dengan pekerjaan yang dilakukannya dan menganggap bapanya yang berniaga kacang putih di Masjid India, di sini, sebagai inspirasi.

“Saya ada merancang untuk mengajak lebih ramai rakan melakukan konsep perniagaan ini supaya sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang tiada pekerjaan.

“Sekarang, konsep perniagaan seperti saya ini sudah diusahakan oleh rakan seusia, Arvind Ratnakumar di sekitar Masjid India,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai proses pembuatan teh Masala, Kavievanan berkata, resepi minuman itu dibuatnya sendiri.

” Teh Masala mengandungi serbuk teh dari India dan rempah ratus iaitu buah pelaga, kayu manis, halia, lada hitam, bunga cengkih dan dididihkan selama dua jam.

“Selepas siap, saya akan menuangnya ke dalam tong air panas dan membawanya menaiki motosikal manakala basikal pula saya letak dan kunci di belakang kedai di sini.

“Perlu berhati-hati ketika membawa tong itu disebabkan ianya pernah terjatuh sebelum saya sempat memulakan jualan,” katanya.

Kavievanan berkata, kos ubahsuai basikal supaya sesuai digunakan untuk perniagaan memakan hampir RM500 dan tong pula dibeli dengan harga RM150.

“Walaupun begitu, saya tetap bersyukur dengan hasil jualan apatah lagi sudah ada pelanggan tetap,” katanya.

Menurutnya, selain pengusaha restoran, kakitangan pejabat dan pekerja kedai adalah pelanggan tetapnya.

Katanya, dia juga tidak menyangka perniagaan kecil-kecilannya itu tular di media sosial dan akan meneruskan perniagaannya itu memandangkan permohonan kerjanya dalam bidang kejuruteraan belum mendapat respon positif.

“Buat masa ini, saya merancang untuk meneruskan dan mengembangkan lagi perniagaan menjual teh Masala ini.

“Sudah menjadi cita-cita saya sejak kecil mempunyai perniagaan sendiri. Berniaga dengan konsep seperti ini membuka mata saya mengenai dunia sebenar.

“Lebih enam bulan berniaga di sini banyak yang saya pelajari mengenai erti kehidupan terutamanya apabila mendengar perkongsian mereka yang lebih tua,” katanya.-HM

 

Harga basikal lagi mahal daripada kereta

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker