53 tahun Syiling Tersumbat Di Hidung
Moscow: Seorang lelaki di Zelenograd, Rusia, mengalami kesukaran bernafas lebih setengah abad gara-gara memasukkan duit syiling ke dalam hidungnya ketika berusia enam tahun.
Lelaki itu yang kini berusia 59 tahun dilaporkan dirujuk ke Hospital Klinik Konchalovsky City di Zelenograd baru-baru ini selepas mengadu sukar bernafas di hidung sebelah kanan.
Oddity Central melaporkan, imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) mendapati ada bendasing menyerupai batu yang tersekat di hidung kanannya berdekatan nasopharynx.
Lelaki itu tidak memberitahu doktor bendasing itu menjadi penyebab masalah pernafasannya atau mungkin dia sudah tidak mengingati duit syiling itu.
Bagaimanapun, selepas imbasan CT dilakukan ada objek bulat dipercayai syiling dan dia mendakwa memasukkannya ke dalam hidung ketika berusia enam tahun.
Berikutan ibunya sangat tegas, dia takut untuk memberitahu ibunya menyebabkan duit syiling itu tersangkut di hidung kanannya sehingga sekarang.
Doktor pada awalnya ragu-ragu dengan kisahnya, tetapi selepas mengeluarkan duit itu dan melakukan pembedahan endoskopi lebih sejam, pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) Elena Nepryakhina memberitahu Moscow Press Agency, lelaki itu begitu sakit kerana hidungnya tersumbat.
Doktor mengatakan lelaki itu bernasib baik kerana dapat kembali bernafas sepenuhnya dan sekiranya dibiarkan lebih lama pelbagai komplikasi kesihatan akan berlaku.-HM
You must be logged in to post a comment.