Penyelarasan elaun perumahan berita gembira – Cuepacs
KUALA LUMPUR, 26 Nov — Keputusan kerajaan untuk mengkaji dan menyelaras semula kadar elaun perumahan penjawat awam dilihat sebagai langkah baik dalam memastikan pemberian elaun yang adil serta saksama.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata langkah itu juga dilihat mampu memperkasakan lagi sistem perkhidmatan awam terutama dalam soal kebajikan warganya.
“Cuepacs sudah bawa isu ini semenjak 2013 lagi dan kita mengalu-alukan pengumuman ini agar keadilan dapat diberikan dalam pemberian elaun ini.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam sesi penggulungan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) di Dewan Rakyat hari ini memaklumkan kerajaan akan mengkaji semula dan menyelaras kadar elaun perumahan penjawat awam.
Selepas dua minggu dibahas dan melalui empat hari proses penggulungan oleh setiap kementerian, rang undang-undang itu diluluskan di peringkat dasar hari ini.
Katanya walaupun kelulusan Belanjawan 2021 itu hanyalah di peringkat dasar, Cuepacs optimis belanjawan tersebut akan tetap diluluskan sekali lagi selepas ia dibahas di peringkat jawatankuasa selepas ini.
“Cuepacs berharap semua pihak di blok pembangkang dan kerajaan terus mencari titik persefahaman dalam isu Belanjawan 2021. Titik persefahaman terbabit adalah rakyat.
Dari sudut perkhidmatan awam pula, belanjawan ini sudah tentu amat penting kerana penjawat awam ketika ini bertanggungjawab secara langsung dalam memastikan setiap agenda dan dasar kerajaan untuk memulihkan semula ekonomi negara berjaya dilaksanakan,” katanya.
— BERNAMA
You must be logged in to post a comment.