Ahli perniagaan baru bergelar Datuk ditahan bersama wang RM2.17 juta
Seorang ahli perniagaan yang baru menerima gelaran Datuk dari sebuah negeri baru-baru ini merupakan antara tiga suspek yang diberkas kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan tidak wujud di Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata, dua lagi suspek termasuk seorang wanita juga ahli perniagaan yang berusia antara 27 dan 40 tahun.
Katanya mereka ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan juga Kluang.
Penahanan mereka dibuat atas maklumat orang awam.
“Hasil pemeriksaan, polis berjaya menemui wang kertas RM2.17 juta serta mata wang asing pelbagai negara yang bernilai RM1.4 juta di sebuah bilik rumah suspek bergelar ‘Datuk’ itu.
Mata wang Malaysia bernilai RM2.17 juta dan mata wang asing bernilai RM1.4 juta dirampas dari tiga suspek ahli perniagaan termasuk bergelar Datuk meniou pelaburan forex tak wujud dalam serbuan di Taman Kluang semalam. Foto IPK Johor.
“Selain itu kita berjaya juga merampas enam telefon bimbit, 10 utas jam tangan berjenama Rolex bernilai RM200,000 dan dua utas jam tangan berjenama terkemuka bernilai RM200,000.
“Selain itu, turut dirampas 16 keping kad kredit Visa, Master serta kad debit bank pelbagai, 22 keping emas bernilai RM45,000, dua kenderaan mewah Mercedes dan Ranger Rover.
“Jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM4.6 juta,” katanya dalam sidang media hari ini.
Kesemua mereka direman tiga hari sejak semalam.
Tambah beliau, modus operandi sindiket itu dengan menipu melakukan aktiviti pelaburan tidak wujud kononnya melabur dalam mata wang asing dan mata wang kripto dengan menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat kepada mangsa-mangsa.
Ujar beliau, mangsa sasaran sindiket ini adalah dalam kalangan rakyat tempatan, warga China, Singapura dan Brunei serta beberapa negara lain.
Katanya, suspek gagal memberi penjelasan tentang wang yang bernilai jutaan itu serta sumber perolehannya ketika kediamannya diserbu.
Ayub memberitahu, polis kini sedang mengenal pasti mangsa-mangsa pelaburan tidak wujud ini serta suspek-suspek lain yang masih bebas.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan juga denda,” katanya lagi.
Beliau turut menggesa orang ramai atau mangsa yang tertipu dengan sindiket didalangi Datuk itu tampil membuat laporan polis. .
“Polis khuatir mungkin ramai mangsa yang tertipu dengan sindiket ini, oleh itu kita merayu mereka supaya tampil segera membuat laporan polis bagi membantu melengkapkan siasatan untuk tindakan pendakwaan,” katanya.
Menurut Ayub, laporan polis ke atas suspek utama sindiket ini pernah dibuat oleh pengadu tetapi ditarik balik.
Siasatan masih di peringkat awal dan polis memerlukan masa lama untuk menyemak dengan Bank Negara Malaysia. MG
Artis jangan terjerat aktiviti wang haram