Undian Belanjawan 2021 bakal ditunda?
Proses undian Belanjawan 2021 yang dijadualkan esok dijangka akan ditunda ekoran pelbagai faktor antaranya kekurangan Ahli Parlimen di pihak kerajaan ekoran isu kuarantin Covid-19.
Turut dilihat menjadi penyebab penangguhan undian itu ialah ketidaksepakatan Ahli Parlimen Umno dan sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 oleh beberapa kementerian yang belum selesai.
Setakat ini, hanya lima kementerian selesai menggulung perbahasan iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Rata-rata Ahli Parlimen blok kerajaan atau pembangkang mahukan bahagian tertentu dalam Belanjawan 2021 dipinda dengan beberapa penambahbaikan.
Perbahasan rang undang-undang itu juga menyaksikan Ahli Parlimen tidak terlalu terikat kepada pendirian parti.
Parti penyokong kerajaan, Barisan Nasional (BN), memberikan sokongan bersyarat kepada Belanjawan 2021 dengan antara lain menuntut pelanjutan moratorium pinjaman automatik selama enam bulan lagi dan pengeluaran one-off RM10,000 caruman Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Dewan Rakyat mempunyai semua 222 ahli tetapi berlaku dua kekosongan apabila kematian dua penyandangnya iaitu Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) yang meninggal dunia pada 2 Oktober lalu dan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) pada 16 November lalu. MD
You must be logged in to post a comment.