Senoi Praaq punyai reputasi cemerlang: KPN

Anggota Polis Gerakan Am Senoi Praaq terlibat dalam operasi mencari remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang.

KUALA LUMPUR – Kehandalan, ketangkasan dan kecekapan orang asli dalam ilmu perhutanan menjadikan masyarakat itu sebagai pilihan utama untuk diserapkan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai anggota unit Senoi Praaq, Pasukan Gerakan Am (PGA).

Pasukan berkenaan diasaskan oleh Ketua Jabatan Orang Asli, Richard Noone pada Mei 1956 dengan kekuatan seramai 10 orang asli bertujuan menghapuskan ancaman komunis dalam kalangan masyarakat itu di hutan.

Kini, unit yang diletakkan di bawah PGA, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) itu masih berfungsi mengekalkan keamanan negara dan menghindari ancaman musuh terutamanya di hutan, di samping terlibat dalam misi mencari dan menyelamat di kawasan itu.

Setelah lebih 60 tahun ditubuhkan, Senoi Praaq kembali menjadi perhatian ramai apabila unit itu turut dilibatkan dalam misi pencarian seorang remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang hilang di Negeri Sembilan pada Ogos tahun lepas.



Unit itu digunakan untuk menjejak dan mengesan remaja berkenaan selain digunakan bagi mengesan pemburu haram yang merosakkan flora dan fauna pada Oktober tahun lepas.

Unit Senoi Praaq dilatih dengan ilmu pertempuran dan taktik serangan pantas menjadikan ia dianggap legenda kerana kepakaran mengesan dan memburu pengganas komunis (PKM) sehingga jauh ke dalam hutan-hutan tebal hingga ke sempadan negara Thailand.

Selain itu, mereka ini amat pakar dalam mengenal pasti denai-denai di hutan dan mahir mengesan jerangkap samar yang dipasang musuh.

Perkara itu diakui sendiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, yang mengakui Senoi Praaq mempunyai reputasi yang cemerlang dan baik serta digeruni dalam kalangan penyeludup di sempadan negara kerana mereka ini amanah dan berintegriti tinggi semasa menjalankan tugas.



Beliau berkata demikian pada sidang media khas berhubung insiden di sempadan Malaysia-Thailand, yang menyaksikan salah seorang daripada anggota Senoi Praaq, Koperal Baharuddin Ramli, 54, dari suku kaum Semelai, terkorban, selepas kejadian berbalas tembak dengan sekumpulan penyeludup semasa melakukan tinjauan dan risikan di kawasan berkenaan.

Rakan setugasnya Koperal Norihan A/L Tari cedera parah dalam kejadian itu, dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker