Banjir di Chepor, Ipoh terburuk sejak 11 tahun lalu
Penduduk Kampung Chepor Dalam, Chemor, dekat sini, menyifatkan banjir kilat yang melanda kawasan itu semalam adalah yang terburuk dalam tempoh 11 tahun lalu.
Masni Wazali, 48, berkata banjir kilat pernah berlaku sebelum ini tetapi ia hanya naik pada paras paha, berbanding kali ini ketinggian air mencecah sehingga 1.5 meter dalam masa 30 minit sahaja.
Masni, yang tinggal bersama suami, Ahmad Tajri Hamzah, 64, serta dua anak perempuan, berkata air naik dengan cepat kira-kira jam 12.30 tengah malam Isnin menyebabkan mereka sekeluarga tidak sempat menyelamatkan pelbagai barangan, termasuk perabot dan perkakas elektrik.
“Air naik sangat cepat dan begitu deras, masa itu saya belum tidur lagi, suami saya terdengar bunyi air di mangkuk tandas rumah dan bila keluar rumah, saya nampak air telah melimpahi jalan raya.
“Kami memang tak sempat nak selamatkan harta benda termasuk barangan jualan produk satu jenama kecantikan seperti alat kosmetik, haruman dan penjagaan diri, habis semua rosak akibat banjir menyebabkan kerugian lebih RM1,000,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di sini, hari ini.
Masni berkata ketika ini, beliau sekeluarga sibuk berkemas dan membersihkan kediamannya yang dipenuhi selut banjir sehingga ada barangan yang terpaksa dibuang akibat rosak serta tidak boleh dipakai lagi.
“Memang penat kemas rumah sebab pada kejadian banjir pada 2012, habis juga barangan rumah rosak dan dibuang dan kali ini banjir lagi teruk tapi apa boleh buat, kami reda sahaja ujian dari Allah,” katanya.
Seorang lagi mangsa banjir, Tukiah Abu Yamin, 62, berkata beliau bersama enam anaknya termasuk saudara mara bergotong-royong mengemas rumah dan membuang perkakas elektrik dan perabot yang rosak.
“Mana yang boleh pakai dan dicuci seperti baju dan langsir, saya pakai lagi tetapi mana yang sudah rosak seperti barangan elektrik dan almari serta katil memang terpaksa buang sahaja.
“Kejadian berlaku semasa saya, suami, anak perempuan dan cucu sedang tidur. Jiran di belakang rumah menjerit memberitahu air naik dan kami bergegas keluar dari rumah selamatkan diri sebab air dah mula masuk ke dalam rumah,” katanya yang bekerja sebagai petugas perkhidmatan pembersihan di Jabatan Perhutanan Negeri Perak di sini. BERNAMA
You must be logged in to post a comment.