PM dengar luahan pemandu, rider Grab
PUTRAJAYA: “Daripada saya tidak buat apa, lebih baik bekerja sebagai pemandu Grab. Sekurang-kurangnya dapat menjana pendapatan, dapatlah sedikit sebanyak membantu keluarga.”
Itu luahan sekumpulan pemandu dan riders Grab kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan di Pusat Pemandu Grab, Petaling Jaya, Selangor, tengah hari tadi.
Jelas Perdana Menteri, sejak negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu sehingga kini di fasa PKP Bersyarat (PKPB), banyak yang didengar tentang peranan pemandu dan riders e-hailing itu sebagai barisan hadapan tidak didendang.
Menurut beliau, ada antara mereka terpaksa memandu atau menghantar pesanan pelanggan lebih lapan jam sehari selain ramai menjadi pemandu atau riders sepenuh masa setelah hilang pekerjaan tetap.
“Sebelum Covid-19, mereka memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM4,000 ke RM5,000 sebulan namun sekarang, mereka hanya memperoleh sekitar RM2,000 ke RM2,500 sebulan atau kurang daripada itu bergantung kepada kekerapan perjalanan yang dibuat.
“Sekarang ini kalau mendapat RM100 sehari pun mereka mampu tersenyum tetapi jika mereka mendapat RM150 sehari, bolehlah mereka tersenyum lebar. Saya bangga dengan semangat dan dedikasi mereka,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Muhyiddin berkata, daripada luahan hati mereka, rata-ratanya menunggu peluang pekerjaan yang lebih baik dan stabil, namun tidak mahu berpeluk tubuh dan memilih pekerjaan itu yang sekurang-kurangnya dapatlah membantu menampung kehidupan bersama keluarga.
Malangnya, kata Perdana Menteri, mereka juga menghadapi masalah lain seperti kesukaran mendapatkan pinjaman kewangan dan kekangan bantuan kerajaan seperti subsidi minyak.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan untuk mengkaji perkara berkenaan dan berbincang dengan kementerian berkaitan.
Pada masa sama, Perdana Menteri akan meminta Kementerian Pengangkutan untuk meneliti semula mengenai peraturan Lesen Pengendali Sementara (LPS) dan garis panduan perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan (p-hailing) yang bakal dilaksanakan sebagaimana dibimbangi kumpulan pekerja ini.
Muhyiddin turut mengagumi dengan pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU), Siti Fatimah dan suaminya, Nijaz Nathan Vellasamy kerana terus gigih dan menjadi antara 200 pemandu OKU dalam perkhidmatan itu tanpa menjadikan kekurangan mereka sebagai penghalang untuk mencari rezeki.
“Mereka meminta kerajaan memberikan sokongan kepada pemandu OKU dengan mempermudahkan syarat pengambilan lesen pemandu PSV yang dikatakan amat ketat dan membolehkan mereka bekerja seperti pemandu e-hailing lain.
“Saya amat menghargai sumbangan besar para pemandu dan riders dalam menjana ekonomi negara. Mereka bukan sahaja mencari rezeki untuk diri sendiri bahkan turut membantu memperluaskan rantaian ekonomi para peniaga lain,” katanya.
Muhyiddin turut berpesan kepada semua pemandu dan riders agar menjaga keselamatan diri dalam kegigihan mencari rezeki.
Apa juga cabaran dan dugaan yang datang, nasihat Perdana Menteri, jangan berputus asa atau cepat mengalah, tetapi sematkan semangat itu dalam diri. -UTUSAN ONLINE
You must be logged in to post a comment.