Bekas exco, Pemuda MIC kritik belanjawan Kedah isu ‘dana’ kuil
Bekas exco Kedah Dr R Summugam berkata dia kesal dengan ketiadaan peruntukan terhadap rumah ibadat bukan Islam di negeri itu dalam belanjawan yang dibentangkan minggu lepas.
Summugam juga berkata dia kesal dengan jawapan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan perkara itu, yang menurutnya menguris hari masyarakat India.
“Tidak pernah kita dengar mana-mana kerajaan negeri Kedah sebelum ini tolak peruntukan kepada tempat ibadat bukan Islam.
“Bermula BN, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan semua beri peruntukan kepada tempat ibadat bukan Islam.
“Semua MB ketika itu adalah Melayu dan Islam. Tidak timbul isu agama rasmi dan sebagainya. Malah, saya pernah dengar Kerajaan negeri Kelantan pun membantu tempat ibadat bukan Islam.
“Maka, saya meminta MB Kedah supaya kaji semula supaya memberikan peruntukan menerusi peruntukan khas menteri besar kepada tempat ibadat bukan Islam,” kata wakil rakyat PKR itu kepada Malaysiakini.
Summugam yang juga Adun Bukit Selambau mengulas ucapan Belanjawan 2021 Kedah oleh Sanusi.
Ketika menjawab permintaan Summugam yang meminta RM500,000 untuk kuil dan RM500,000 untuk sekolah Tamil, Sanusi menjawab:
“Cuma kalau Bukit Selambau nak peruntukan untuk kuil, saya rasa mungkin itu susah untuk dilaksanakan, kerana peruntukan yang disalurkan kepada Jabatan Agama Islam, Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) itu atas dasar Islam adalah agama rasmi persekutuan.
“Kerajaan negeri membantu bukan dasar agama. Kita bagi atas dasar pendidikan membina dewan itu boleh. Saya boleh bincang dan sembang bila-bila boleh,” tambah Sanusi lagi.
Macam kelas ketiga – MIC
Sementara itu, Pemuda MIC Kedah berkata tindakan seolah-olah melayan masyarakat bukan Melayu sebagai “warga kelas ketiga”.
Ketua Biro Aduan Awam Pemuda MIC S Sasitharan berkata pendirian menteri besar seolah-olah gagal mengakui kewujudan 25 peratus penduduk Kedah bukan Melayu dan beragama Islam.
“Kita amat menyesali tindak tanduk MB Kedah dalam soal ini dan pada hemat kami – seluruh masyarakat India di negeri Kedah – Sanusi tidak layak dan sesuai untuk memimpin Kedah dan lebih banyak membawa keburukan berbanding kebaikan dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini,” tambahnya.
Jangan persoal kontrak sosial, kata PAS
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya mempertahankan kerajaan negeri sebagai membela semua pihak tanpa mengira bangsa, agama dan pegangan politik.
“Berulang kali beliau menyebut dalam sidang tersebut beliau telah bersetuju berunding dengan semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama dan sekiranya terdapat mana-mana polisi serta tindakan yang menindas kaum minoriti di negeri bertuah ini, mereka akan diberi keutamaan yang sama rata.
“PAS Kedah mengingatkan tidak perlu dipersoalkan kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia yang telah sedia ada.
“Tidak perlu menyebut bagaikan dilayan seperti warga kelas ketiga,” katanya.
Ahmad menyeru aktivis dan wakil komuniti India segera ke meja perundingan.
You must be logged in to post a comment.