Garis panduan baharu Lesen dan Larangan Minuman Keras bukan soal agama, kaum · MYKMU.NET

Garis panduan baharu Lesen dan Larangan Minuman Keras bukan soal agama, kaum

Share

KUALA LUMPUR: Garis panduan baharu Lesen Minuman Keras (LMK) yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bukan sesuatu yang baharu kerana peraturan tersebut telahpun diperkenalkan di pelbagai negara termasuk di Eropah, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata DBKL telah melakukan tinjauan di negara-negara lain di samping mengkaji sistem yang dipakai di Singapura sebelum memperkenalkan garis panduan tersebut di sini.

“Kita juga lihat peraturan yang dipakai di negara lain termasuk Eropah di mana pembelian minuman keras memang sangat dikawal dari segi waktu dan lesen tempat yang boleh dijual. Oleh itu isu ini tiada kena-mengena dengan isu agama mahupun perkauman,” katanya.

Industri arak akan terus subur jika DAP/PH berkuasa: Presiden ISMA

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi penyampaian sumbangan kepada persatuan penduduk Kuala Lumpur di bawah program Wilayah Cakna 3.0 yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Seri Dr Santhara Kumar.

Annuar menegaskan garis panduan itu bertujuan mengawal penjualan arak secara terbuka dan bebas di ibu negara selepas menerima pelbagai aduan daripada orang awam mengenai masalah yang timbul daripada perkara berkenaan, termasuk penjualan arak kepada golongan bawah umur dan pelajar sekolah.

Pada 16 November lepas, DBKL memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras yang antara lain menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.

Sementara itu, Annuar berkata kementeriannya memperuntukkan RM39.75 juta bagi melaksanakan inisiatif Wilayah Cakna 3.0 untuk warga kota yang terkesan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). – BERNAMA

DAP kumpul bantahan larang jual minuman keras, DBKL diseru jangan gentar!

Leave a Reply