Individu pulang dari Sabah tak kena perintah kuarantin di KLIA, cetus kluster baru
‘Kelompongan’ prosedur operasi standard (SOP) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyebabkan seseorang yang pulang dari Sabah dibenar keluar dari lapangan terbang tanpa dikenakan perintah kuarantin rumah, menurut Kementerian Kesihatan.
Masalah itu hanya disedari oleh pihak berkuasa ketika lelaki berusia 65 tahun itu pergi ke hospital beberapa hari kemudian setelah mengalami beberapa gejala Covid-19.
Lelaki tersebut hanya disahkan positif virus itu pada 13 November.
Bagaimanapun, pada ketika itu, ia sudah terlambat kerana pihak berkuasa kemudian mendapati lelaki berkenaan telah mencetuskan kluster jangkitan baru, yang dinamakan sebagai kluster Bah Bercham.
Sehingga kini, kluster itu mempunyai lima kes positif. Ujian saringan terhadap kemungkinan kes berkaitan dengan kluster tersebut setakat ini melibatkan 137 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu wartawan hari ini bahawa individu tersebut telah menjalani ujian Covid-19 tiga hari sebelum kembali ke Semenanjung dari Tawau, Sabah.
Menurutnya, walaupun mereka yang kembali dibenarkan untuk menjalani ujian sebelum berlepas dari Sabah, mereka yang diuji negatif masih perlu menjalani kuarantin mandatori 14 hari.
“Bila sampai ke KLIA, telah sah dari sistem telah jalan saringan dan negatif.
“Sepatutnya bila negatif, patut pergi kaunter pakai gelang dan dikenakan perintah pengawasan di rumah (HSO).
“Tetapi macam mana dia terus keluar (dari KLIA),” kata Noor Hisham pada taklimat harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Dipercayai lelaki itu tinggal di Perak, kerana dia dan empat kes positif lain dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak.
KKM sejak itu mengambil maklum kewujudan masalah di KLIA, dan pihak berkuasa meneliti bagaimana lelaki itu dapat berjalan keluar dari lapangan terbang tanpa melalui kaunter HSO.
“Sekarang kita perketat lagi kawalan, walau ada laporan negatif akan dipakai gelang dan diberi HSO,” katanya.
Noor Hisham berkata inilah sebab mengapa KKM menetapkan tempoh kuarantin selama 14 hari bagi mereka yang pulang dari Sabah dan luar negara.
Pihak berkuasa kesihatan, jelasnya, mendapati tujuh peratus kes positif yang melibatkan kepulangan dari Sabah dikesan pada hari ke-13 dalam tempoh kuarantin mereka.
Jelasnya, inilah juga sebab KKM menolak permohonan oleh beberapa orang, termasuk penjawat awam yang kembali ke semenanjung dari Sabah setelah menyelesaikan tugas di sana, untuk memendekkan tempoh kuarantin mereka.
“Kita bimbang kerana ada kebolehjangkitan. Ada tempoh inkubasi,” katanya lagi.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kluster Teratai yang melibatkan ramai pekerja kilang Top Glove di Klang, Noor Hisham berkata mereka belum menemui jangkitan dalam komuniti yang berkaitan dengan kluster tersebut.
“Setakat ini tertumpu pekerja-pekerja kilang tersebut. Aktiviti pengesanan aktif masih diteruskan.
“Tiada kenal pasti lagi kes di kalangan komuniti,” katanya.
You must be logged in to post a comment.