Penternak lelong ikan siakap, kerapu elak kerugian besar · MYKMU.NET

Penternak lelong ikan siakap, kerapu elak kerugian besar

Share

TUMPAT: Laguna Sri Tujuh di sini hari ini menjadi tumpuan ramai apabila lebih 20 penternak siakap dan kerapu di kawasan itu melelong ikan ternakan mereka yang mati akibat kualiti air yang merosot susulan pelepasan air menerusi pintu air Sungai Tapang dikatakan membawa kelodak dan sisa tumbuhan ke kawasan ternakan, sejak petang semalam.

Tinjauan Bernama mendapati sepanjang jalan di laguna itu menjadi sesak daripada kebiasaan apabila penggemar ikan berkenaan membanjiri gerai jualan untuk membeli ikan pada harga murah.

Seorang penternak dan penjual ikan Rosli Ismail, 37, berkata kebanyakan pengusaha terpaksa melelong ikan-ikan mereka pada harga yang amat murah, bagi mengelak daripada menanggung kerugian yang besar.

“Bayangkan ikan siakap saya seberat empat sehingga enam kilogram tiap seekor ini, kira-kira 6,000 ekor, jika tidak dijual saya akan kerugian beratus ribu ringgit. Hari ini kami jual dengan harga separuh daripada biasa malah ada yang tidak sampai RM10 seekor bagi mengelak kerugian,” katanya ketika ditemui di laguna itu.

Menurutnya kira-kira 50 daripada lebih 90 penternak ikan dalam sangkar di laguna itu berdepan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit seorang selepas banyak ikan ternakan mati akibat kualiti air yang merosot mulai pukul 3.00 petang semalam.

Kejadian itu dikatakan berpunca daripada pelepasan air menerusi pintu air Sungai Tapang ketika proses pembersihan sungai, termasuk membuang pokok keladi yang memenuhi permukaan sungai sehingga menyebabkan keladak dan sisa tumbuhan dialirkan, masuk ke kawasan ternakan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Laguna Sri Tujuh Mohamad Abdullah berkata pihak berkenaan sepatutnya memaklumkan terlebih dahulu kepada penternak sebelum membuka pintu air yang menyebabkan kelodak kotor memenuhi laguna berkenaan.

“Apabila air kotor masuk, ia menyebabkan oksigen tidak mencukupi sehingga ikan siakap dan kerapu yang matang ini mati,” katanya.

“Hari ini ikan yang baru mati kami jual dengan harga separuh sahaja dan kami harap pihak berkaitan dapat membantu meringankan beban kami ini,” katanya.
BERNAMA

Ikan kerapu gergasi seberat lebih 200 kg ditangkap

Leave a Reply