Idea Kreatif Cikgu Nancy

Mahu mencipta suasana lebih ceria dan menaikkan semangat anak didiknya supaya cekal belajar dalam suasana norma baharu.

Itulah hasrat murni seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau, Miri di Sarawak, Nancy Thomas yang menggunakan kreativitinya menggayakan pelbagai pakaian tradisional ketika proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara maya bersama pelajarnya.

Menurutnya, idea berkenaan sekadar suka-suka bagi menghiburkan pelajarnya dan mencari kelainan untuk menarik minat pelajar mengikuti kelas yang dianjurkan menerusi Google Meet.

“Ketika cuti sekolah diumumkan secara mengejut, kami guru sedih kerana tidak sempat membuat sebarang persediaan untuk proses mengajar dalam talian apatah lagi memikirkan pelajar tingkatan enam saya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester satu dan tiga.

“Jadi, untuk menghiburkan semua orang selain menarik minat pelajar untuk mengikuti kelas dalam talian, saya perlu lakukan sesuatu lain daripada lain supaya mereka tidak bosan dan sentiasa mengikuti kelas saya walaupun secara maya saja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.



Menurutnya, dia menggayakan koleksi peribadi pakaian tradisional seperti etnik Orang Ulu, Ngepan Iban, Melanau, Lun Bawang, Dusun Tatana serta kebaya songket, cheongsam dan sari yang dimilikinya sejak 10 tahun lalu.

“Saya ada beberapa koleksi pakaian tradisional, sayang jika tidak dipakai jadi memandangkan tidak perlu banyak bergerak membuatkan saya berasa selesa untuk pakai selama empat jam ketika mengajar.

“Pada mulanya saya cuma mengenakan aksesori saja sebelum berpakaian lengkap pada hari kedua cuti sekolah baharu yang diumumkan kerajaan bermula.

“Saya bukan saja menggayakan pakaian tradisional beberapa etnik Sabah dan Sarawak, malah sempena sambutan Deepavali baru-baru ini saya juga tidak kekok mengenakan sari,” katanya.



Guru subjek Bahasa Melayu itu juga tidak menyangka, usaha kecilnya itu berjaya menarik minat pelajar mengikuti kelasnya apabila mencatatkan 95 peratus kehadiran, manakala bakinya menghadapi kekangan akses capaian Internet.

“Setakat ini, ramai menyokong idea saya ini, malah kebanyakan pelajar saya kata seronok mengikuti kelas dalam talian kerana ada kelainan berbanding kelas fizikal.

“Saya tidak berasa terbeban kerana cuma mengambil masa 30 minit untuk bersiap sebaliknya saya amat terharu apabila usaha saya ini berbaloi dan memang mengubah ‘mood’ pelajar untuk belajar.

“Pelajar saya juga sentiasa teruja menunggu pakaian apa lagi yang akan saya gayakan pada keesokan hari dan kadangkala mereka sendiri membuat permintaan,” katanya.



Selain itu, katanya, inisiatifnya itu juga memberikan peluang kepada pelajarnya memperluaskan pengetahuan dan mengenali lebih dekat kepelbagaian budaya dan pakaian tradisional pelbagai etnik dan kaum di negara ini.

Bekas finalis Dewi Remaja 1997/1998 itu sebelum ini, pernah menjadi bualan ramai apabila menggayakan pakaian tradisional kaum Kayan, etnik Orang Ulu selepas berjaya menakluki gunung Annapurna, Kathmandu, Nepal pada 25 November tahun lalu bersama suaminya.-HM

Guan Eng tidak layak jadi menteri kewangan, kata Nancy



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker