Ibu koma Covid-19 lahir anak kembar
The Guardian melaporkan Perpetual Uke yang juga perunding reumatologi itu berjaya melahirkan bayinya dengan pembedahan.
Wanita itu melahirkan bayinya ketika kandungan berusia 26 minggu iaitu lebih awal berbanding jangkaan iaitu pertengahan Julai lalu.
Kedua-duanya segera dimasukkan ke unit rawatan rapi neonatal (NICU) selepas selamat dilahirkan.
Selepas melahirkan kembar, Uke masih koma untuk tempoh 16 hari berikutnya.
Media melaporkan sebelum kejadian itu, Uke dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth, Birmingham, pada April lalu, selepas dijangkiti Covid-19.
Keadaan kesihatannya yang merosot menyebabkan dia diberi suntikan bius untuk koma serta bergantung dengan alat bantuan pernafasan.
Doktor kemudian mengesyorkan kaedah bersalin secara pembedahan dilakukan berikutan keadaan Uke yang belum pulih.
Sebaik tersedar daripada koma dan melihatnya keadaan perutnya, Uke panik kerana bimbang dirinya mengalami keguguran.
“Saya nampak perut tidak seperti sebelum ini dan menyangka sudah kehilangan bayi dalam kandungan.
“Rupanya saya selamat melahirkan mereka dan ia seperti satu keajaiban.
“Semuanya dalam keadaan baik dan kali terakhir yang saya ingat adalah jatuh sakit sebelum ambulans datang ke rumah dan seterusnya koma,” katanya.
Menurut Uke, ketika tersedar daripada koma, dia menyangka bayi dalam kandungan dan ahli keluarga lain meninggal dunia.
“Saya sangat bimbang memikirkan suami dan anak terutama apabila tidak dapat melihat bayi kembar saya selama lebih dua minggu.
“Namun, akhirnya saya disatukan semula dengan suami: dua anak, Nnamdi Ronald, 12, dan Chisimdi Claire, 11 serta bayi kembar saya,” katanya-HM
Kembar tiga baru lahir positif Covid-19