Belanjawan 2021: MOT sedia pelbagai insentif kurangkan beban rakyat – Wee

Kementerian Pengangkutan (MOT) yang menerima peruntukan sebanyak RM6.05 bilion dalam Belanjawan 2021, akan menyediakan pelbagai inisiatif yang pastinya memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.

Menterinya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kesemua inisiatif berkenaan bertujuan mengurangkan beban rakyat, lebih-lebih lagi dalam situasi negara dan rakyat masih berdepan dengan ancaman pandemik COVID-19.

Antara inisiatif itu, kata Wee, ialah Program Transformasi Bas Henti-henti (SBST) yang akan diperluaskan ke Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu dan Kuantan secara berfasa pada 2021 hingga 2023 dengan peruntukan sebanyak RM150 juta.

“Program ini akan memastikan perkhidmatan bas yang lebih tepat waktu dan pengguna akan lebih mempercayai perkhidmatan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini mengenai soalan lazim berkaitan Belanjawan 2021 kementeriannya.

Beliau berkata Insentif Pas Bulanan Tanpa Had My30 dengan harga RM30 juga akan disediakan untuk pemegang MyKad dan MyTentera yang mempunyai fungsi “Touch ‘n Go” terbina dalam serta kad konsesi MyRapid bagi pelajar berusia di bawah 12 tahun.

Sementara itu, My30 Lembah Klang, kata Wee, akan membolehkan penumpang menggunakan perkhidmatan bas MyRapid dan rel manakala My30 Kuantan dan Pulau Pinang memudahkan penumpang menggunakan perkhidmatan bas MyRapid.

Beliau berkata insentif berkenaan jauh lebih baik daripada My50 atau My100 sebelum ini apabila dapat memberi manfaat kepada lebih dua juta pengguna pengangkutan awam.

Melalui Insentif Pas Bulanan Tanpa Had KTMB dengan harga RM5 pula, kata Wee, ia akan menyediakan pas bulanan untuk anak-anak Tahun 1 hingga Tingkatan 6 yang berulang-alik ke sekolah dan golongan OKU bagi perkhidmatan tren komuter Lembah Klang, komuter utara, tren antara bandar Kuala Lipis dan Tumpat dan tren Sabah di jajaran Beaufort-Tenom.

Beliau berkata insentif berkenaan akan memberi manfaat kepada 2,500 pelajar sekolah dan 760 OKU setiap hari.
Sementara itu, Wee berkata Jabatan Pengangkutan Jalan akan menambah bilangan kiosk untuk beberapa perkhidmatan utama seperti pembaharuan lesen kenderaan motor selain akan menyalurkan sebanyak RM1,000 kepada pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan pemandu pelancong di Sabah melalui insentif Gerak Khas Prihatin Tambahan.
Menurutnya, pengecualian cukai jualan bagi pembelian bas siap termasuk penyaman udara yang dipasang dalam negara juga akan dilanjutkan bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Jan 2021 hingga 31 Dis 2022.

Mengenai Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Wee berkata bagi Seksyen C iaitu dari Temerloh ke Pelabuhan Klang, kerajaan sedang mengkaji jajaran terbaik bagi memastikan ECRL memberi impak ekonomi yang maksimum apabila disiapkan kelak.

Katanya jajaran yang terbaik dan memberi impak maksimum kepada rakyat itu akan diumumkan apabila kajian tersebut sudah lengkap.

Mengenai peruntukan bagi MOT dalam Belanjawan 2021, Wee berkata daripada RM6.05 bilion yang diperuntukan kepada kementeriannya tahun depan, RM1.88 bilion adalah Perbelanjaan Mengurus dan RM4.17 bilion lagi untuk Perbelanjaan Pembangunan. BERNAMA

Wee janji pakej bantuan bagi pemandu bas sekolah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker