Pelajar Sarawak gigih daki 3 jam ke tempat tinggi demi internet

Seorang guru di Lubok Antu, Sarawak, sanggup memerah keringat bagi memastikan kanak-kanak yang tinggal di rumah panjangnya tidak ketinggalan dalam pelajaran berikutan penutupan sekolah di seluruh negara.

Sambau Dugat, 43, seorang guru sains dari SMK Lubok Antu berkata, kebanyakan pelajar tidak mempunyai akses komputer dan internet yang stabil.

Setelah mendapat tahu mengenai masalah itu, beliau memutuskan untuk mencari lokasi dengan sambungan internet yang lebih baik supaya mereka boleh belajar secara dalam talian.

Untuk itu, beliau membawa para pelajar mendaki selama 3 jam ke tempat lebih tinggi di mana sambungan internetnya lebih stabil.



Ini membolehkan pelajar memeriksa mesej dan maklumat lain yang disiarkan guru mereka dalam talian melalui media sosial atau kumpulan di WhatsApp.

Lapan pelajar sekolah rendah dari SK Ng Delok dan 12 pelajar sekolah menengah dari SMK Lubok Antu, SMK Engkilili dan sekolah sukan SMK Tabuan Jaya mengikuti beliau dalam pendakian itu pada Ahad.


Cikgu Sambau Dugat (depan) bersama 20 muridnya yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah.
Sambau berkata, beliau kembali ke rumah panjangnya di Nanga Sumpa pada hujung minggu dan mendapati pelajar di kampung itu tidak dapat menyambung pelajaran mereka dalam talian.

“Saya tahu saya perlu buat sesuatu. Sebilangan ibu bapa dan ahli keluarga juga memutuskan untuk mengikuti kita dan bantu menjaga pelajar.



“Kita mulakan perjalanan seawal pukul 9.30 pagi dan sampai di sana dalam pukul 12.30 tengah hari. Kita habiskan 1 jam dekat sana sebab cuaca nak hujan. Kita perlu balik semula ke rumah panjang,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kumpulan pelajar itu kebanyakannya tinggal di asrama di Lubok Antu, namun pulang semula ke kampung kerana sekolah ditutup.

Katanya, itu merupakan pilihan paling mudah bagi anak-anak rumah panjang itu dengan pergi ke tempat yang lebih tinggi berbanding pergi ke bandar terdekat, untuk akses internet.

Kata Sambau, meskipun hanya sekitar 30 minit untuk pergi ke bandar terdekat, iaitu Lubok Antu, dengan melalui jalan darat dan 1 setengah jam pula dengan bot, dan mereka perlu berbelanja kira-kira RM20 hingga RM30 seorang.



Beliau berkata, beliau hanya boleh balik semula ke rumah panjang pada hujung minggu kerana bekerja dari rumah di Lubok Antu dan perlu mengadakan kelas dalam talian.

“Saya dibesarkan di rumah panjang dan saya sangat tahu akan keadaannya. Saya bimbang pelajar di situ akan ketinggalan kerana mereka tidak mempunyai internet untuk belajar dalam talian sedangkan kebanyakan ibu bapa mereka adalah petani,” katanya. FMT

Gigih demi mencari rezeki, penghantar makanan hanya jalan kaki hantar pesanan



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker