PDRM dilengkapi kamera badan mulai tahun depan
Anggota polis dijangka akan mula dilengkapi dengan kamera badan (body camera) mulai tahun depan.
Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN) perolehan peralatan berkenaan akan dilaksanakan mulai 2021 sebagai langkah menjaga integriti anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Penggunaan body worn camera dalam penugasan anggota PDRM berupaya mengelakkan tuduhan dan tohmahan semasa menjalankan tugas yang akan memartabatkan reputasi anggota pasukan serta meningkatkan persepsi positif rakyat.
“Permohonan Projek Body Worn Camera Rolling Plan Pertama (RP1) RMK-12 untuk PDRM fasa 1 ini melibatkan cadangan perolehan sebanyak 2,168 unit body worn camera 4G,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat.
Terdahulu Oscar Ling (PH-Sibu) meminta KDN menjelaskan rancangan kerajaan untuk memasang body camera ke atas setiap anggota polis yang menjalankan tugas untuk mengelakkan salah guna kuasa dan rasuah.
Ling juga mahu tahu bilakan ia akan dilaksanakan.
Menurut KDN kerajaan memang komited untuk melaksanakan projek body worn camera dengan mengambil kira hasil positif yang diperolehi bagi mengurangkan kes aduan, perbuatan salah laku dan rasuah anggota PDRM ketika menjalankan tugas di lapangan.
“Selain itu, ia dijangka dapat meningkatkan ketelusan dalam penyampaian perkhidmatan selain meningkatkan hubungan positif antara polis dan masyarakat,” katanya. Mk