Lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui atas jalan di Bangsar

PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an ditemui mati dengan kesan kecederaan di beberapa bahagian badan di Jalan Bangsar awal pagi tadi.

Ketua Polis Brickfields Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemui dalam keadaan terbaring di atas jalan raya kira-kira pukul 5.38 pagi.

“Pihak polis menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki Melayu memaklumkan bahawa ada seorang lelaki tidak sedarkan diri di atas jalan raya yang menghala ke Pantai Dalam.

“Hasil siasatan awal polis mendapati lelaki tersebut tiada sebarang pengenalan diri. Mangsa di bawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zairulnizam berkata, berdasarkan siasatan lanjut forensik di tempat kejadian, mangsa dipercayai dibunuh dengan senjata tajam.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa atau mempunyai ahli keluarga yang hilang boleh menghubungi pihak polis di talian +603-22979222 bagi membantu siasatan.

Mayat lelaki ditemui mati depan kedai serbaneka Bangsar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker