Vaksin Covid-19, Malaysia tandatangan bekalan 5 tahun dah bangunkan R&D dengan China
Malaysia dan China telah menandatangani perjanjian selama 5 tahun untuk bekerjasama dalam pembangunan vaksin, yang memberi negara keutamaan akses vaksin Covid-19 yang dikembangkan China.
Perjanjian itu telah ditandatangani oleh Menteri Tenaga. Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan rakan sejawatannya dari China, Wang Zhigang pada majlis yang diadakan secara maya hari ini, menurut kenyataan bersama Wisma Putra dan kementerian sains.
“Semasa perjumpaan dalam talian dua hala negara itu, Khairy Jamaluddin dan Wang Zhigang, telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam menangani wabak Covid-19 melalui diplomatik sains.
“Perjanjian itu memberikan Malaysia keutamaan akses kepada vaksin Covid-19 yang dibangunkan China, perkongsian pengetahuan dan kepakaran serta memudahkan keupayaan saintifik dan teknologi untuk memajukan pembangunan vaksin di kedua-dua negara.
“Kedua-dua negara juga akan menyokong penglibatan sektor awam dan swasta termasuk universiti, institusi, dan organisasi dalam projek gabungan.
“Kedua-dua kerajaan turut bersetuju mereka akan menyokong dan mendorong perusahaan untuk menjalin kerjasama menyeluruh dalam penyelidikan dan perkembangan vaksin dan penyediaan,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, perjanjian akan tetap berkuatkuasa untuk jangka waktu awal lima tahun, dan kemudian secara automatik dilanjutkan satu tahun sekali, setelah dipersetujui bersama oleh Malaysia dan China.
Sementara itu, Khairy menerusi akaun Twitternya berkata, pihaknya juga telah berbincang bersama Wang untuk menerima blok rantai passport kesihatan digital (blockchain-enabled digital health passport).
Ini akan digunakan bagi melaksanakan koridor perjalanan bagi warganegara yang telah mengambil vaksin dari kedua negara itu.
Khairy sebelum ini berkata, kerajaan telah berkomunikasi dengan 10 pengeluar vaksin Covid-19 melibatkan lapan pengeluar yang dihubungi secara terus, manakala dua lagi melalui Fasiliti Akses Global Vaksin Covid-19 (Covax).
Selain itu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pula berharap Malaysia dapat memperoleh bekalan vaksin Covid-19 pada suku pertama tahun depan.
Untuk rekod, terdapat sekurang-kurangnya empat vaksin yang dibangunkan China yang kini dalam fasa klinikal peringkat akhir – CanSino Biological Inc’s Ad5-nCoV, Sinopharm’s BBIBP-CorV, WIBP dan Sinovac’s CoronaVac.
Awal hari ini, dilaporkan bahawa ujian tahap pertengahan menunjukkan CoronaVac memberi tindak balas imunisasi yang cepat, walaupun tahap antibodi yang dihasilkan lebih rendah dari orang yang telah sembuh dari penyakit ini.
Ujian ini tidak dirancang untuk menilai keberkesanan, tetapi para penyelidik mengatakan bahawa ia masih dapat memberikan perlindungan yang cukup melawan wabak ini.
Sebelum ini, pembuat ubat AS, Pfizer dan Moderna, serta Rusia, mendakwa vaksin mereka memberikan perlindungan lebih 90 peratus terhadap Covid-19 berdasarkan hasil sementara dari ujian tahap akhir.