Pelajar Rayu Bina Menara Telekomunikasi

BALING: Pelajar sekolah dan universiti yang tinggal di Kampung Tembak B, Kuala Ketil di sini merayu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membina menara telekomunikasi untuk kemudahan mereka mengikuti kelas dalam talian sepanjang musim cuti persekolahan ini.

Mereka mendakwa, capaian internet di sekitar kampung lemah sehingga mereka sering ketinggalan mengikuti kelas dalam talian yang disediakan pihak sekolah dan universiti.

PELAJAR Universiti, Muhammad Saiful Izwan Mohamad Hilmi, 21, (kiri) dan Muhamad Fairul Ezuan Saidi, 21 menguji tahap kelajuan capaian internet di rumah mereka di Kampung Tembak B, Kuala Ketil hari ini.- UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (SPTM) kecewa apabila mereka banyak ketinggalan kelas dalam talian tersebut.

Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Panjang di sini, Muhd. Nur Amirul Hasan, 17, berkata, dia hanya berpeluang mengikuti kelas dalam talian beberapa kali sahaja sejak cuti sekolah baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun peperiksaan SPM dijadualkan pada Februari ini, namun, dia banyak ketinggalan dalam pelajaran setelah gagal mengikuti kelas dalam talian.

“Saya dah tidak bersemangat lagi sertai kelas dalam talian disebabkan capaian internet yang lemah,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, SKMM perlu membina menara telekomunikasi untuk memastikan kawasan ini mendapat liputan internet yang lebih baik.

Pelajar SMK Sik, Nur Fatihah Elleh, 18, yang bakal menduduki STPM pada Mac ini pula melahirkan kebimbangan dia akan banyak ketinggalan kerana tidak dapat mengikuti kelas online yang diadakan dari pukul 8 pagi hingga 1 petang pada setiap hari.

Katanya, dia percaya masalah yang dihadapi ini akan selesai sekiranya SKMM menyediakan kemudahan menara telekomunikasi di kampung ini.

“Saya merayu SKMM supaya dapat membina menara telekomunikasi bagi membolehkan pelajar-pelajar di sini dapat belajar secara online dengan sempurna,” ujarnya.

Pelajar Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangar, Perak, Muhammad Saiful Izwan Mohamad Hilmi, 21, pula memberitahu, beberapa pegawai SKMM dan beberapa syarikat telekomunikasi telah melakukan pemeriksaan kelajuan capaian internet di kawasan kampung berkenaan.

“Mereka melakukan pemeriksaan kelajuan internet tersebut selepas masalah tersebut disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada semalam (kelmarin).

“Saya ucapkan terima kasih kepada Utusan Malaysia melaporkan keluhan dan kesusahan pelajar di kampung ini mengikuti kelas dalam talian disebabkan capaian internet yang lemah,” katanya.

Utusan Malaysia pada 16 November melaporkan dua penuntut universiti terpaksa memanjat pokok rambutan setinggi kira-kira lapan meter bagi mendapatkan capaian internet untuk menyertai kelas dalam talian di Kampung Tembak B, Kuala Ketil di sini.

Mereka ialah Muhammad Saiful Izwan dan Muhamad Fairul Ezuan Saidi, 21, yang masing-masing penuntut Universiti Sultan Azlan Shah dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Sungai Petani dekat sini. -UTUSAN ONLINE

SKMM keluar 92 kompaun RM4.6 juta kepada syarikat telekomunikasi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker