Jumlah jemaah solat di masjid, surau di Kuching ditambah
Majlis Islam Sarawak (MIS) hari ini membenarkan penambahan jumlah jemaah untuk bersolat fardu lima waktu dan solat Jumaat di semua masjid dan surau di daerah Kuching, bermula esok.
Jurucakap MIS berkata, bagi Masjid Jamek Negeri Sarawak di Petra Jaya, jumlah jemaah solat lima waktu dan solat Jumaat adalah dibenarkan tidak melebihi 200 orang.
Bagi masjid dan surau lain di seluruh daerah Kuching pula, jumlah jemaah yang dibenarkan adalah tidak lebih 100 orang pada satu-satu masa dengan penjarakan fizikal wajib diamalkan.
“Aktiviti pengimarahan seperti untuk ceramah, kuliah, bacaan al-Quran dan Yasin hanya dibenarkan bagi tempoh antara Maghrib hingga Isyak mengikut had ditetapkan.
“Jamuan makan di dalam masjid dan surau pula adalah tidak dibenarkan dan digalakkan menyediakan makanan berbungkus untuk dibawa balik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Daerah Kuching kini masih berada dalam zon merah Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan sejak 9 hingga 22 November ini.
Sementara itu, beliau menjelaskan, gugur tuntutan wajib mengerjakan solat Jumaat bagi sesiapa yang tidak memperolehi kuota berjemaah di masjid atau surau.
“Sebaliknya mereka (yang tidak bersolat Jumaat) hanya wajib menunaikan solat fardu Zohor sebanyak empat rakaat.
“Arahan ini berkuatkuasa mulai 19 November sehingga diisytiharkan PKPB ditamatkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak,” katanya. HM
Mengapa Hotel TH Kuching masih belum beroperasi?
You must be logged in to post a comment.