Ejen insurans pakat bakar kereta

Hanya kerana mahu mendapatkan komisen tuntutan insurans, seorang ejen insurans sanggup berpakat dengan pemilik sebelum membakar kenderaan menggunakan kerosin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, terdapat tiga kes diterima pihaknya membabitkan kejadian kenderaan dipercayai dibakar dengan sengaja pada tahun ini hingga mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat di kondominium di Sri Putramas.

“Kejadian pertama dilaporkan pada 9 Jun lalu membabitkan tiga kereta, manakala kejadian kedua pada 4 Julai lalu membabitkan tiga kereta dan kejadian ketiga pada 16 November lalu membabitkan dua kereta.

“Semua kejadian itu berlaku antara 12.30 tengah malam hingga 4.30 pagi. Jumlah keseluruhan kereta yang dibakar adalah lapan membabitkan model Mercedes Benz, Bentley, Toyota, Perodua dan Nissan dianggarkan bernilai RM190,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.



Nik Ros Azhan berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya melakukan tangkapan terhadap lelaki tempatan berusia 35 tahun di hotel di Genting Highlands, Bentong, Pahang 11 malam, kelmarin.

“Siasatan awal mendapati suspek terbabit menetap di Taman Kepong Baru, Kuala Lumpur dan bekerja sebagai ejen insurans.

“Hasil soal siasat dilakukan kami mendapati modus operandi kegiatan suspek adalah mengenal pasti pemilik dan kemudian berpakat dengan mereka (pemilik) sebelum membakar kenderaan menggunakan gas kerosin untuk mendapatkan komisen tuntutan insuran,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin berjaya menyelesaikan tiga kes kenderaan dibakar di kondominium Sri Putramas dengan penahanan suspek berkenaan.



“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan penipuan dan judi.

“Suspek kini direman selama empat hari bermula semalam hingga 20 November ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya. HM

Mujur ada Skim Insurans Pekerjaan (SIP) – Najib



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker