Pak Lang upah RM50 seguni seludup ketum ke Siam

PADANG TERAP: Empat lelaki bersama 13 guni daun ketum seberat 379 kilogram yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran ditahan di ladang getah Durian Burung di sini oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Ops Benteng, jam 3 petang semalam.

Pada masa sama, tiga anggota ATM dari Kem Sahara, Durian Burung turut diserang seorang daripada suspek ketika dihampiri namun dapat dipatahkan.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, berkata suspek berusia 22 hingga 27 tahun itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap.

“Tiga daripada suspek adalah rakyat tempatan manakala seorang lagi dipercayai rakyat Thailand dan tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

“Hasil siasatan, suspek warga Thailand menjadi jurupandu arah untuk menyeludup daun ketum terbabit ke negara jiran,” katanya pada sidang media di IPD Padang Terap hari ini.

Mulkiaman berkata, hasil siasatan, semua suspek mengaku mengambil upah untuk menyeludup daun ketum itu melalui orang tengah dikenali sebagai ‘Pak Lang’ di Durian Burung.

Beliau berkata, daun ketum itu akan diseludup melalui lorong tikus dengan menggunakan motosikal. Daerah ini, terutama di kawasan sempadan Durian Burung, ada banyak lorong tikus yang tidak mampu dimasuki kenderaan dan hanya boleh dilalui motosikal.

“Mereka mengaku menerima upah RM50 setiap guni daun ketum yang dibawa hingga sampai ke Thailand.

“Suspek turut memberi alasan tiada kerja disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan mereka terpaksa menyeludup daun ketum untuk menampung hidup,” katanya sambil menambah semua suspek mengaku menjadi penyeludup sejak enam bulan lalu.

Taktik digunakan ialah, suspek akan membawa daun ketum ke kawasan hutan pada waktu malam sebelum diseludup ke Thailand pada siangnya.

Semua suspek direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Suspek warga Thailand berusia 27 tahun akan disiasat mengikut Akta Imigresen. BH

Penjawat awam bawa daun ketum ditahan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker