Ezam rungkai kebencian Mahathir terhadap Anwar
Ezam Mohd Noor mendedahkan punca sebenar kebencian bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Setiausaha Politik Anwar itu berkata, kebencian Mahathir telah bermula sekitar tahun 1997 apabila Anwar yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan enggan menuruti desakan Mahathir untuk menyelamatkan syarikat-syarikat besar.
Malah, Anwar juga dikatakan tidak mahu melayan kerenah ahli Parlimen Langkawi itu yang amat cenderung melindungi syarikat-syarikat kroni besar termasuk syarikat anaknya.
Ezam berkata, menjadi Setiausaha Politik Menteri Kewangan pada tahun 1996, beliau dapat menyaksikan dari dekat pertembungan Mahathir-Anwar pada tahun 1997 itu.
“Anwar sering mempertahankan kelompok miskin daripada menyelamatkan syarikat-syarikat kaya. Anwar mendidik warga kementerian agar dekat dengan kelompok miskin.
“Di zaman Anwar, sasterawan-sasteraqan besar pro-rakyat diundang ke Kementerian Kewangan yang sebelum itu menjadi sarang kelompok si kaya raya.
“Makanya Mahathir, kroni dan keluarganya yang sangat pro kapitalis kaya, membenci Anwar dan mula merancang menjatuhkannya,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.
Pada masa sama, Ezam yang juga bekas Angkatan Muda Keadilan itu berkata, beliau menyaksikan bagaimana Anwar terus ditekan untuk mengubah sikap pro rakyatnya sehingga akhirnya Anwar dipecat pada 2 September 1998.
Menurutnya, ia bukan soal Anwar cekap mengurus atau tidak, kerana Anwar pernah diiktiraf sebagai Menteri Kewangan terbaik di dalam dan di luar negara sepanjang perkhidmatan beliau.
“Ianya soal Anwar yang pro rakyat dan enggan tunduk kepada kerakusan sang PM yang pro kapitalis kaya dan utamakan usaha selamatkan si kaya daripada rakyat miskin.
“Pada usia 29 tahun dan setiausaha politik termuda ketika itu, saya ditakdirkan menyaksikan pertarungan ini di depan mata saya. Saya bertanggungjawab meluruskan hakikat yang sebenar ini,” katanya lagi.
Ezam mendakwa, Mahathir dahulu adalah alat kepada kapitalis kaya-raya dan ketika ini masih lagi membiarkan dirinya menjadi alat dan perkakas kepada kapitalis.
Dedahnya juga, kapitalis-kapitalis tidak mahu Anwar menjadi orang nombor satu negara kerana Anwar tidak akan tunduk kepada mereka seperti mana yang Mahathir lakukan.
“Mereka tahu Anwar sebagai seorang PM akan lindungi rakyat bawahan dan tidak seperti Mahathir melindungi mereka yang kaya raya,” katanya lagi. MD
https://mykmu.net/2017/01/05/ezam-jual-kotak-kepada-mahathir/
You must be logged in to post a comment.