Polis Serbu Hotel Maksiat ‘3 dalam 1’

Share

Polis menyerbu sebuah hotel tiga bintang yang menjalankan kegiatan pelacuran, judi online serta menjual ubat kuat di Taman Serdang Perdana di sini malam tadi.

Bertindak atas maklumat awam dan risikan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman dengan kerjasama Polis Daerah Serdang menyerbu premis di tingkat tiga itu menerusi Ops Noda yang berakhir pada pukul 11 malam.

Ketua Penolong Pengarah (KPP) D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, ketika serbuan seramai tujuh gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand dan Vietnam itu sedang leka melayan pelanggan masing-masing.

Katanya, hasil siasatan mendapati aktiviti persudalan itu dipromosikan melalui aplikasi media sosial seperti WeChat dan Whatsapp untuk menarik lelaki hidung belang melanggan GRO.

Beliau yang baru hari pertama menggalas tugas sebagai KPP D7 itu menegaskan, sindiket tersebut telah beroperasi sejak dua bulan lalu dan mempunyai 37 bilik yang dipercayai untuk kegunaan aktiviti pelacuran dan judi online.

“Hasil serbuan kita mendapati selain aktiviti pelacuran, hotel yang menempatkan 37 bilik itu turut menyediakan tujuh buah komputer riba di bilik tertentu bagi tujuan judi online.

“Sindiket berkenaan mampu menjana keuntungan RM3,000 sehari dan dalam serbuan itu kita juga merampas puluhan botol ubat kuat yang dijual dengan harga RM200 sebotol,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan malam tadi.

Turut bersama dalam serbuan itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah.

Menurutnya lagi, hasil pemeriksaan lanjut pihak polis turut menemui sebuah lif disebalik dinding yang dipercayai digunakan pelanggan dan GRO untuk melarikan diri sekiranya premis itu diserbu polis.

“Dalam serbuan itu, seramai 10 pelanggan yang terdiri daripada lapan lelaki tempatan dan masing-masing seorang warga Palestin dan Bangladesh ditahan dalam serbuan tersebut.

“Kesemua suspek itu berusia lingkungan 25 hinga 35 tahun. Turut ditahan dua penjaga premis,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55(b) akta yang sama. – K! ONLINE

Usahawan Kosmetik Ditahan Terbabit Penyeludupan Dadah RM5 juta, Netizen Mulakan Siasatan CSI Siapakah Gerangannya..

Leave a Reply