Berita palsu kematian Pak Lah, KPN ziarah maklum status siasatan
KUALA LUMPUR: Selepas kira-kira tiga bulan tersebarnya berita palsu kematian Tun Abdullah Ahmad Badawi, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, hari ini mengunjungi bekas Perdana Menteri itu, bagi memaklumkan status siasatan kes berkenaan.
Abdul Hamid meluangkan masa kira-kira sejam bertemu dan bertanya khabar Abdullah serta isterinya, Tun Jeanne Abdullah, di kediaman mereka di sini.
Ketika ditemui selepas itu, Abdul Hamid berkata, beliau mengambil tanggungjawab untuk hadir sendiri menemui Abdullah yang lebih dikenali sebagai Pak Lah, bagi memaklumkan mengenai siasatan kes itu.
Jelasnya, dua individu, termasuk penulis artikel sudah dipanggil bagi memberi keterangan berhubung penularan berita berkenaan.
“Pihak saya sudah melakukan siasatan dan daripada siasatan itu, kita dapati apa yang ditulis tidak mempunyai niat tidak baik… salah komunikasi, tersilap. Kita sudah mengambil tindakan memanggil penulis artikel dan semuanya dah tidak ada apa-apa, tiada kes,” katanya.
Katanya, siasatan juga mendapati seorang lagi individu menyebarkan perkara itu kerana menyangka ia berita yang betul, tanpa sebarang niat untuk mengaib dan memalukan sesiapa.
Justeru, Abdul Hamid meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan berita tidak sahih, sebaliknya membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak bertanggungjawab.
Pada 10 Ogos lalu, Pegawai Khas Abdullah, Datuk Jefridin Atan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, berhubung penyebaran berita palsu sebanyak dua kali dalam masa seminggu yang menurutnya tidak boleh dipandang ringan, kerana ia membabitkan hal berkaitan perdana menteri kelima.
Dalam pada itu, Jeanne berkata, kesihatan suaminya yang bakal menyambut ulang tahun ke-81 pada 26 November ini adalah baik.
“Tun (Abdullah) selalu bersiar-siar di halaman rumah, beliau ‘okay’,” katanya ringkas. – BERNAMA
You must be logged in to post a comment.