ADUN DAP gagal peroleh kebenaran semak penggunaan jawi

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menolak permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras Chow Yu Hui bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri Pahang mewajibkan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda dan iklan di negeri ini.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz juga memerintah Yu Hui, 37, selaku plaintif untuk menjelaskan kos, masing-masing RM5,000 kepada Majlis Daerah Raub (MDR) dan kerajaan negeri Pahang, yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu.

Pada penghakimannya, Zainal Azman berkata mahkamah tidak perlu campur tangan dalam polisi penggunaan tulisan jawi yang diwajibkan mulai 1 Januari 2020 kerana sudah diputuskan oleh kerajaan negeri mengikut tatacara yang betul.

“Polisi ini sudah dibincangkan dan dibahaskan. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pahang yang bersidang pada 29 Mei 2019 juga bersetuju dengan penyeragaman penggunaan tulisan jawi pada papan tanda dan iklan di Pahang.

“Jika mahkamah harus menyemak segala keputusan mesyuarat EXCO, maka akan berlaku banyak polisi yang hendak dibantah dibawa ke sini, walaupun dibuat dengan tatacara yang betul.

KWSP, bukan yang ‘Demam’ sahaja, yang ‘Batuk & Selesema’ hampir demam perlu juga

“Sehubungan itu, mahkamah memutuskan tiada merit di peringkat ini untuk pemohon diberikan kebenaran,” katanya.

Zainal Azman juga menolak hujah Yu Hui bahawa semua arahan berkaitan penggunaan tulisan jawi itu adalah terbatal dan tidak boleh diguna pakai kerana arahan itu tidak diwartakan, memandangkan beliau mempunyai pengetahuan mengenai pelaksanaan polisi berkenaan.

Ini, menurut Zainal Azman berdasarkan kedudukan Yu Hui selaku ADUN di Pahang, selain pusat khidmat beliau sudah menerima surat daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pada Julai 2019 disusuli notis garis panduan penggunaan tulisan jawi daripada MDR pada Oktober 2019.

Pada prosiding itu, peguam Chong Kar Yan mewakili Yu Hui, manakala MDR diwakili peguam Datuk T Anandan dan Farah Nur Atiqah Bahari sementara Peguam Kanan Persekutuan Noor Fadzila Ishak mewakili kerajaan negeri Pahang.

Sementara itu, Yu Hui semasa ditemui Bernama berkata beliau menghormati keputusan mahkamah dan akan berbincang sama ada akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Yu Hui memfailkan permohonan itu pada 9 April lalu, bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya keputusan mesyuarat EXCO Pahang dan garis panduan dikeluarkan MDR berhubung tulisan jawi dibatalkan.

Beliau juga berhasrat mahkamah mengeluarkan perintah supaya notis kesalahan yang dikeluarkan MDR pada 9 Januari 2020 kerana didakwa gagal mempamerkan tulisan jawi pada papan tanda pusat khidmatnya, dibatalkan. – BERNAMA

Ezam rungkai kebencian Mahathir terhadap Anwar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker