Wanita Berkuasa Sepenuhnya! Jom Lihat Masyarakat Yang Tidak Mengiktiraf Suami Isteri
Sekiranya ditanya siapakah ketua kepada keluarga, majoriti antara anda pasti akan menyebut bapa atau suamilah yang akan bertindak sebagai ketua.
Menurut halaman NPR, berbeza dengan komuniti kecil yang tinggal berdekatan dengan sempadan Tibet dinamakan sebagai Mosuo dan ada cerita menarik yang perlu anda tahu.
Wanita Sebagai Ketua Keluarga
Masyarakat Mosuo menganggap lelaki tidak perlu memainkan peranan sebagai seorang bapa dan perkahwinan hanyalah satu ikatan yang tidak bermakna bagi mereka. Lelaki hanyalah penderma benih apabila zuriat dimahukan mana-mana wanita.
Ini sekaligus menjadikan wanita sebagai pewaris sepenuhnya dalam keluarga. Mereka diberikan hak sebagai ketua, hak membuat keputusan serta pewarisan harta. Malahan anak yang lahir juga akan mewarisi nama keluarga ibunya.
Tiada Istilah Suami Isteri
Menurut halaman NPR, di sini tidak wujud istilah perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang wanita, yang ada adalah sistem ‘perkahwinan berubah-ubah‘ yang tidak mengiktiraf suami isteri.
Sesi perkenalan bermula dengan upacara tari menari dimana pihak lelaki perlu meminta izin untuk bersuai kenal dengan wanita yang disukainya dengan menyentuh tangan wanita tersebut semasa tarian.
Sekiranya wanita tersebut kembali menyentuh tangan lelaki itu sebelum tarian tamat, maka mereka bolehlah menjalinkan hubungan sama ada secara intim atau tidak.
Pasangan Boleh Memilih Jenis Hubungan
Pasangan boleh merancang mahu hubungan panjang, sekadar mahu melepaskan kehendak seksual, mahu menimang cahaya mata atau sekadar mahu berhubungan satu malam sahaja.
Bagi mereka yang memilih untuk berhubungan panjang sehingga mendapat cahaya mata, kedua-duanya tetap hidup berasingan dengan keluarga masing-masing tetapi boleh bertemu hanya pada waktu malam.
Pasangan Boleh Berjumpa Ketika Waktu Malam Sahaja
Bagi lelaki yang mempunyai pasangan, mereka perlulah menyelinap masuk ke rumah keluarga pasangan mereka sekitar jam 12 tengah malam atau 1 pagi dan meluangkan masa bersama.
Apabila tiba jam 5 ke 6 pagi, lelaki tersebut perlulah bergegas keluar meninggalkan rumah pasangan kerana mereka tidak dibenarkan untuk terus berada di situ.
Anak Tanpa Perlu Campur Tangan Bapa
Bagi lelaki yang membuntingkan pasangannya tidak dianggap sebagai bapa kepada anak itu. Sebaliknya lelaki itu atau bapa kepada kandungan tersebut ‘dibebaskan‘ daripada tanggungjawab seorang bapa.
Tanggungjawab membesarkan anak tersebut digantikan dengan adik-beradik lelaki dan pakcik wanita tersebut yang akan bertindak membesarkan anak-anak dalam keluarga mereka.
Tinggal Dalam Keluarga Yang Sama Sepanjang Hayat
Semua adik beradik akan tinggal serumah sepanjang hayat tanpa ada individu dari keluarga luar dibenarkan tinggal sebagai ahli rasmi rumah tersebut.
Kaum lelaki dalam keluarga wajib memainkan peranan membesarkan anak saudara mereka daripada kecil sehinggalah besar.
Begitulah kisah orang Mosuo di China, di mana wanita diangkat sebagai ketua keluarga dan label suami serta isteri tidak wujud kerana bagi mereka kedua-duanya tidak membawa sebarang makna-Murai.my
You must be logged in to post a comment.