Pekerja Top Glove Klang ‘ketakutan’ wabak Covid-19 di kilang

Top Glove, syarikat pembuatan sarung tangan terbesar yang memainkan peranan penting dalam membekalkan sut perlindungan diri untuk memerangi Covid-19 kini terjejas ekoran wabak tersebut.

Kluster Teratai, yang berkait dengan syarikat itu di Meru, Klang kini menyaksikan 53 kes baru hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 214 kes.

Data kementerian kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan kluster tersebut tidak terhad di Meru, di mana terdapat 20 kilang Top Glove dan asrama pekerjanya, yang juga merangkumi daerah lain seperti Kuala Selangor, Petaling dan Hulu Langat.

Bagaimanapun, data tersebut tidak memperincikan jumlah kes yang berkaitan secara langsung dengan pekerja kilang.

Bagi pekerja yang menggerakkan pengeluaran kilang itu, mereka melangkah masuk ke kawasan tersebut pada setiap hari dengan membawa sama rasa gentar.

Pekerja yang enggan dinamakan memberitahu Malaysiakini mereka sangat takut untuk pergi ke kerja, bimbang dijangkiti wabak tersebut.


Tetapi, syarikat tersebut pantas dalam melakukan proses pembersihan dan basmi kuman.

Walaupun begitu, pekerja tetap bimbang setelah melihat rakan sekerja mereka kerap dihantar ke hospital atau ke pusat kuarantin.

“Saya rasa mereka patut hentikan operasi. Keadaan tak okay.

“Setakat ini, ramai dah dibawa ke pusat kuarantin, tetapi masih ada mereka yang perlu ke kerja. Ia sukar (untuk kami) kerana kami takut sekarang,” kata pekerja itu.

Ratusan pekerja kilang Top Glove telah menjalankan kuarantin di hotel sekitar daerah Klang, menurut pekerja yang bercakap dengan Malaysiakini.

Beberapa pekerja mendakwa, 300 pekerja telah dibawa menaiki bas dan van ke hotel daerah Klang, yang kini digunakan sebagai pusat kuarantin.

Ia salah satu hotel yang digunakan untuk meletakkan pekerja yang perlu menjalani ujian saringan Covid-19.

Salah seorang pekerja berkata terdapat satu lagi hotel di Kapar yang dijadikan pusat kuarantin.


Dengan ramai pekerja yang terpaksa menjalani kuarantin, banyak yang terpaksa dipanggil untuk bekerja ekoran kekangan tenaga kerja.

Mereka berkata ia bukan satu perkara janggal kerana ia telah menjadi hal biasa bagi pekerja kilang untuk menukar tempat operasi kerja.

“Beberapa operasi pengeluaran kilang hanya dalam separuh kapasiti, kerana kekurangan tenaga kerja,” kata pekerja itu.

Menurutnya, ramai yang telah dikuarantin kerana Top Glove telah mengasingkan mereka yang adaa kontak rapat dengan kes positif.

“Jika kamu bekerja dengan kawasan sesak dan seorang pekerja diuji positif, mereka akan menghantar pesakit positif ke hospital dan mengkuarantin pekerja yang lain,” katanya.

Penduduk dalam ketakutan

Ketakutan ini bagaimanapun tidak hanya dirasai pekerja kilang tetapi penduduk kawasan sekitar juga.

Anggota Dewan Undangan Negeri Adun (Meru) Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, berkata persatuan penduduk dan NGO telah mula membuat laporan polis dan menandatangani petisyen supaya kilang tersebut ditutup.

“Penduduk di Meru sangat sangat takut sekarang. Saya juga sokong tindakan persatuan penduduk dan NGO yang menggesa kilang itu tutup operasi.

“Kerana kita tidak patut tolak ansur bila melibatkan keselamatan,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Fakhrulrazi menambah, pihaknya telah berbincang dengan pengurusan syarikat Top Glove minggu lalu, di mana dia meminta syarikat itu mengehadkan pergerakan pekerja bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 terhadap orang awam.

“Kita mahu mereka hadkan pergerakan pekerja. Tetapi lagi elok jika mereka tutup sementara,” jelasnya.

Sabtu lalu, satu berita tentang kematian di kawasan tersebut telah mencetuskan permintaan supaya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melakukan proses sanitasi.

Tiada maklumat jelas sama ada kematian itu ada hubungan dengan Covid-19 atau tidak, tetapi ia masih membimbangkan penduduk sekitar itu.

Mengikut data KKM, Klang adalah kawasan paling terjejas di Selangor dengan 840 kes positif sejak 14 hari lalu.

Ia diikuti daerah Hulu Langat (816), Petaling (422), Sepang (320), Kuala Langat (163) dan Gombak (111).

Top Glove ambil langkah kekang penularan

Sementara itu, syarikat Top Glove, ketika dihubungi berkata bahawa pihaknya telah memastikan kawasan persekitaran kerja yang selamat dalam keadaan wabak.

“Operasi kami di Malaysia sangat tegas dengan prosedur operasi standard (SOP) kerajaan Malaysia.

“Kita akan terus menekankan kepentingan kawasan kerja yang selamat, termasuk semua pekerja akan menggunakan PPE,” katanya pada satu kenyataan semalam.

Syarikat tersebut telah meningkatkan SOP pada 12 Nov lalu, termasuk mengehadkan pergerakan pekerja yang hanya penting untuk bekerja.

Hal itu juga disahkan oleh pekerja yang bercakap dengan Malaysiakini, berkata kini para pekerja tidak dibenarkan keluar dan hanya boleh keluar ke tempat kerja sahaja.

Top Glove juga telah mewujudkan pusat kuarantin untuk pekerjanya yang terpaksa menjalani kuarantin diri. Mk

Seorang pekerja putus tangan dalam kemalangan di kilang Top Glove

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker