Lapan ditahan kerana bakar mercun, provokasi kepung anggota peronda PDRM

SERDANG – Sekumpulan lapan penduduk bukan sahaja membakar mercun, malah turut membuat provokasi terhadap pihak polis yang cuba menyuraikan mereka.

Kejadian berlaku di Taman Serdang Jaya di sini di sini pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian tersebut, seorang warga emas yang juga merupakan penduduk di kawasan berkenaan turut cedera di bahagian muka selepas dibaling dengan mercun ‘dragon’.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, susulan kejadian itu polis melakukan operasi khas dan menahan lapan individu terbabit semalam.

“Kesemua suspek yang berusia 27 hingga 53 tahun itu ditahan di kawasan rumah masing-masing dan dipercayai terbabit dalam kejadian pada Jumaat lalu.

“Polis kini sedang mengesan dua lagi individu yang dikenali sebagai Saravanan dan Vinoth,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas berhubung kejadian berkenaan, Razali berkata, insiden berlaku pada pukul 11 malam pada Jumaat lalu.

“Seorang penduduk membuat laporan polis kerana diugut dan cedera akibat terkena mercun yang dibaling oleh sekumpulan penduduk.

“Susulan itu anggota peronda ke lokasi kejadian, namun anggota itu dikepung kira-kira 70 hingga 80 orang selama 30 minit,” ujarnya.

Menurut beliau, disebabkan itu polis tidak boleh mengambil tindakan pada hari kejadian ekoran faktor keselamatan dan sensitiviti.

“Apa yang berlaku sekiranya kita mengambil tindakan drastik pada malam itu, disebabkan itu kita merancang untuk melakukan operasi susulan.

“Semua individu yang ditahan akan dipohon reman pada hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya. MG

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker