Sektor pelancongan tenat, perlu bantuan kerajaan, kata pemain industri · MYKMU.NET

Sektor pelancongan tenat, perlu bantuan kerajaan, kata pemain industri

Share

Industri pelancongan yang terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19 memerlukan “bantuan pernafasan” daripada kerajaan jika ingin kekal bertahan sekali gus membantu ekonomi negara berkembang, kata pemain industri berkenaan.

Ramai kalangan pemain industri berpendapat Belanjawan 2021 untuk sektor pelancongan perlu dinilai semula, selain diberikan sokongan yang jauh lebih baik bagi membolehkan mereka terus berada dalam sektor berkenaan.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (Mybha), Emmy Suraya Hussein berkata, jika perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) terus berlanjutan sehingga akhir tahun ini tanpa sebarang bantuan daripada kerajaan, sekurang-kurangnya 40 hotel bajet di kawasan bandar utama akan ditutup menyebabkan kira-kira 2,000 pekerja diberhentikan.

“Tiada jalan lain. Operator hotel tidak mampu untuk menanggung kos perbelanjaan, termasuk gaji pekerja.

“Bayangkan, untuk dapatkan tempahan bilik 1 malam pun susah. Bagaimana kami dapat bertahan dalam masa 1-2 bulan ini?,” katanya.

Beliau berkata, antara bantuan yang boleh diberikan kerajaan, selain peruntukan khas adalah lanjutan moratorium pinjaman supaya pemain industri dapat memfokus dengan menyusun kembali kewangan syarikat.

Selain itu, beliau mendakwa Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana sebanyak RM1 bilion yang diumumkan kerajaan, begitu sukar diperolehi dan hanya 3% permohonan daripada 2,300 ahli persatuan diluluskan kerana peraturan ketat yang dikenakan pihak bank.

Presiden Persatuan Pemandu-pemandu Pelancong Bumiputera Malaysia, Zulkifli Ismail pula berharap Belanjawan 2021 dikaji semula dengan memberi bantuan “one-off” sekurang-kurangnya RM1,000 kepada pemandu pelancong yang merupakan barisan hadapan pelancongan negara.

Beliau berkata, ini kerana kira-kira 80% daripada 9,000 ahli persatuan adalah petugas separuh masa yang tidak mempunyai gaji tetap dan terkesan teruk sejak PKP dilaksanakan sehingga terpaksa membuat kerja lain.

Katanya, antara bantuan lain yang boleh disalurkan oleh kerajaan adalah menyediakan kawasan khas kepada persatuan dan ahli untuk memasarkan produk pelancongan seperti kraf tangan dan pakaian bagi menyemarakkan kembali industri pelancongan negara.

Sementara itu presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) Uzaidi Udanis berkata, peruntukan kerajaan dalam usaha membaik pulih dan menyelenggara infrastruktur bangunan warisan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 tepat pada masanya.

Beliau berkata, ketiadaan pelancong akibat pandemik Covid-19 membantu mempercepatkan lagi usaha berkenaan, sekali gus memastikan bangunan warisan negara kekal terpelihara.

Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia) Mohd Ali Ab.Malek pula mencadangkan supaya peruntukan khas diberikan kepada sektor pelancongan kerana selama ini hasil daripada kutipan perbelanjaan pelancong banyak menyumbang kepada hasil krajaan.

“Peruntukan itu amat dinantikan komponen industri pelancongan yang terdiri daripada agensi pelancongan dan pengembaraan, pengendali pelancongan, hotel dan rumah penginapan, pusat rekreasi dan taman tema, pengangkutan darat, pengendali makanan dan minuman serta pusat membeli-belah.

“Sektor pelancongan terjejas teruk. Industri sedang tenat dan kini hanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan,” tambahnya yang turut mencadangkan agar moratorium pinjaman dilanjutkan sehingga pandemik Covid-19 berakhir. FMT

Leave a Reply