Kumpul lebih 3,000 ubat gigi
HOBI mengumpul barangan bukanlah suatu yang asing tetapi jika yang dikumpulkan ialah ubat gigi, ia memang suatu yang jarang dilakukan.
Namun, itulah yang diusahakan oleh seorang lelaki dari Georgia, Amerika Syarikat yang merupakan pemegang Guinness World Records dengan memiliki koleksi ubat gigi terbanyak di dunia. Kini, dia memiliki lebih 3,000 ubat gigi yang sudah habis atau belum digunakan.
Merupakan seorang doktor gigi, koleksi ubat gigi pelbagai jenama itu disimpan di sebuah klinik gigi di Alpharetta, Georgia.
Di dalam klinik tersebut turut disediakan sebuah almari khas untuk Dr. Val Kolpakov menempatkan koleksi ubat giginya.
“Segalanya bermula pada tahun 2001 ketika saya merupakan seorang doktor gigi muda. Setiap minggu saya mencabut lebih daripada 100 batang gigi.
“Sewaktu itu saya teringat kembali ketika di sekolah pergigian dahulu saya pernah terbaca seorang individu menyimpan koleksi gigi yang dicabut. Pada waktu itu saya terfikir mungkin dapat mengalahkan rekod itu,” katanya kepada saluran WXIA-TV baru-baru ini sekali gus menjadi tular biarpun telah mencipta rekod dunia itu sejak tahun 2012 lagi.
Katanya, sewaktu mendapatkan maklumat mengenai rekod tersebut di internet, Kolpakov telah menemui satu berita mengenai seorang lelaki di Jerman mengumpul ubat gigi tetapi belum disahkan lagi sebagai rekod dunia.
Kolpakov berfikir, jika dia dapat mengumpul koleksi ubat gigi dengan cukup banyak, dia mungkin akan mencatatkan rekod dunia.
Usaha yang dilakukan sejak tahun 2001 itu berhasil apabila pada 2012, Rekod Dunia Guinness telah mengisytiharkan dia sebagai pemegang rekod dunia dengan mengumpul sebanyak 2,037 tiub ubat gigi.
Dia juga turut muncul dalam buku Guinness World Records pada tahun 2014.
Koleksi ubat gigi yang disimpan olehnya merangkumi pelbagai jenama dari seluruh dunia antaranya Colgate, Crayola, Crest dan lain-lain lagi.
Kolpakov menjelaskan, ketika mula mengumpul koleksi tiub ubat gigi itu dia meminta rakan-rakannya untuk mengirimkan ubat gigi yang menarik kepadanya.
“Rakan-rakan saya dari luar negara juga mengirimkan tiub ubat gigi yang menarik dari negara mereka.
“Saya mempunyai koleksi tiub ubat gigi dari Korea, China, India dan Rusia,” jelasnya,
Tambahnya, jika bercuti ke luar negara dia turut mendapatkan tiub ubat gigi yang menarik.
Kolpakov turut memiliki satu set tiub ubat gigi dari tahun 1963 yang berperisa alkohol, rum dan martini.
Dalam pada itu, Kolpakov menjelaskan dia turut menjadikan klinik giginya itu muzium pergigian.
“Semua pesakit saya gembira apabila datang dan mereka turut berkongsi tiub ubat gigi yang saya belum miliki. Jika mereka melancong ke negara-negara tertentu, mereka turut membeli ubat gigi dari sana buat saya,” bicaranya.
Tambahnya, selama bertahun-tahun mengumpul koleksi ubat gigi tersebut, dia mungkin telah menelan belanja hampir AS$50,000 (RM207,000).
“Ada yang mengatakan hobi mengumpul seperti saya adalah penyakit jiwa kerana boleh buat kita menjadi gila.
“Saya tidak akan berhenti mengumpulnya kerana saya seorang yang suka meneroka sesuatu yang istimewa,” jelas Kolpakov.-KOSMO
You must be logged in to post a comment.