Kenyataan Zafrul tak dapat bayar gaji jika belanjawan gagal berbaur ugutan, kata Anwar
Kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz bahawa Putrajaya tidak dapat membayar gaji penjawat awam jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan adalah “hambar dan berbaur ugutan”, kata Anwar Ibrahim.
Ketua Pembangkang dan presiden PKR itu berkata kenyataan Tengku Zafrul berniat meminggirkan pendirian majoriti Ahli Parlimen.
“Saya fikir ini satu kenyataan yang bersifat hambar dan berbaur ugutan serta sebahagian dari rencana untuk mengenepikan suara majoriti Ahli Parlimen,” kata Anwar dalam satu kenyataan.
Anwar berkata tidak timbul isu Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang dipimpinnya membelakangkan kebajikan penjawat awam dan petugas barisan depan memerangi wabak Covid-19.
“Seperti mana yang saya tegaskan tatkala membahaskan belanjawan di Parlimen, soal emolumen penjawat awam, perbelanjaan mengurus dan utamanya perbelanjaan untuk barisan depan serta kelengkapan perubatan dan kesihatan tetap dipertahankan.
Anwar sekali lagi berkata sokongan PH untuk Belanjawan 2021 tertakluk kepada persetujuan kerajaan memperbaikinya selaras dengan keperluan menangani pandemik Covid-19.
“Saya ulangi gesaan untuk kerajaan teliti semula Belanjawan 2021. Pembangkang hanya mendukung sekiranya ia benar-benar belanjawan untuk memerangi Covid-19,” katanya.
“Saya yakin bahawa kita mampu mengemukakan belanjawan atau pindaan yang lebih baik untuk kepentingan rakyat,” tambah beliau.
Semalam, Zafrul dilaporkan berkata, kerajaan tidak dapat memenuhi segala komitmen, termasuk pembayaran gaji penjawat awam dan petugas barisan depan, jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat.
Pada 6 Nov lalu, Zafrul membentangkan belanjawan itu dengan peruntukan terbesar dalam sejarah negara, iaitu RM322.5 bilion.
Belanjawan itu dikritik sesetengah pihak sebagai boros dan tidak mengutamakan mereka yang memerlukan pembelaan akibat Covid-19. FMT
Gaji penjawat awam, barisan hadapan tidak boleh dibayar jika Belanjawan 2021 tidak lulus
Ok la tu..biar semua x dpt apa2 bary sng nk ngajar nt.