57 ditahan, mini kasino diserbu
JOHOR BAHRU: 57 individu berusia antara 13 hingga 70 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan di Taman Sentosa di sini, malam tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata serbuan pertama yang dilakukan di mini kasino berjaya menahan 24 individu iaitu 19 lelaki dan lima wanita, termasuk warga Singapura.
Katanya, premis itu adalah salah satu pusat judi yang dipercayai baru dua hari beroperasi.
“Polis tidak menolak kemungkinan sebelum ini mini kasino berkenaan beroperasi di kawasan lain sebelum berpindah ke lokasi baharu.
“Mereka berselindung di sebalik papan tanda pusat latihan snuker dan itu memang kaedah mereka untuk mengaburi mata pihak berkuasa serta orang awam,” katanya dalam serbuan, malam tadi.
Ayob Khan berkata, serbuan kedua dilakukan terhadap sebuah premis rumah tumpangan di Jalan Rusa yang juga diubah suai dijadikan mini kasino.
Katanya, dalam serbuan itu 33 individu ditahan membabitkan 21 lelaki dan 12 wanita, termasuk enam warga China, seorang Indonesia dan lima tempatan.
“Rumah tumpangan ini dipercayai sudah lama beroperasi. Kita dapat maklumat daripada orang awam minggu lalu.
“Mereka tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan. Malah, terdapat banyak minuman alkohol tidak berlesen disediakan,”katanya.
Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 25 (1) (n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959.