Nak jumpa saya, tak payah tembak dalam media – Annuar

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan Ahli-ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tidak menyerangnya terlebih dahulu di media sebelum berjumpa dengannya.

Annuar melihat langkah itu hanya mahu meraih publisiti di dada akhbar dan media massa sambil menyifatkannya sebagai tindakan itu tidak cantik.

“Saya cadang kurangkan politiking, terlintas ikan di air, saya dah tahu jantan betinanya, saya orang lama dalam politik. Kalau masa Parlimen baru nak buat publisiti, nak jumpa saya melalui kenyataan media, itu kurang cantik laa.

“Kalau nak jumpa, jumpa pegawai boleh terus datang, tak payah berkumpulan, tak payah tembak dulu dalam media,” katanya pada sidang media di Dewan Serbaguna Kampung Baru hari ini.

Pada 27 Oktober lalu, sembilan ahli Parlimen Kuala Lumpur daripada DAP dan PKR dalam satu kenyataan bersama berhasrat bertemu Menteri Wilayah Persekutuan itu bagi membincangkan isu pentadbiran.

Menerusi kenyataan bersama oleh sembilan ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan itu, Annuar belum lagi bertemu mereka sejak menyandang jawatan tersebut Mac lalu walaupun permohonan telah dibuat pada sidang Parlimen lalu.

Sembilan ahli Parlimen tersebut ialah Tan Kok Wai (Cheras); Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Teresa Kok (Seputeh) dan Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju).

Turut tersenarai Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), P Prabakaran (Batu) dan Hannah Yeoh (Segambut).

Bagaimanapun, Annuar menyambut baik hasrat wakil rakyat pembangkang menemui beliau, namun tiada keperluan dilakukan secara berkumpulan.

“Nasihat saya kepada wakil rakyat DAP dan PKR jangan buang masa, jadi datang sahaja, datang seorang pun tak apa.

“Sebahagian sudah datang, wakil rakyat Wangsa Maju sudah datang, wakil rakyat Batu juga ada jumpa cara masing-masing lah.

“Jadi tak payah tunggu nak berpuak-puak untuk jumpa saya sebab saya mengamalkan dasar terbuka,” jelasnya.

Sebaliknya beliau memberi jaminan tiada sebarang protokol atau waktu tertentu dikenakan jika perjumpaan itu mahu dilakukan.

“Kalau ada masalah rakyat, datang saja bila-bila masa, malam pun boleh, siang pun boleh, pagi boleh, di pejabat boleh, di rumah boleh, di warung-warung pun boleh, itu cara saya.

“Musim PKPB ini kita buat cara normal baharu, kurang protokol. Hari ini hari cuti Deepavali, tapi kita masih boleh bekerja, tak jadi masalah, yang penting biar baik untuk rakyat,” katanya lagi. MG

Tak payah ke Jepun nak tahu atau belajar perkara macam ini – Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker