Moratorium : Kehendak rakyat, desakan ahli politik, kebimbangan ahli bank
MELIHATKAN kepada jawapan Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, kemungkinan besar moratorium menyeluruh diperpanjang tidak akan berlaku.
Kata Gabenor Bank Negara moratorium menyeluruh tidak baik untuk ekonomi. Meskipun ia memberikan wang kepada orang ramai untuk jangka pendek, ia akan merencatkan ekonomi dan mempunyai kesan negatif.
“Ia akan mengekang pemberian pinjaman baharu kepada isi rumah dan perniagaan memandangkan bank berdepan kekurangan penampan kewangan dan menimbulkan risiko.
“Ini (moratorium menyeluruh) akan mengekang pertumbuhan dan menjejaskan ekonomi untuk jangka panjang kerana akan lebih ramai peminjam berdepan hutang tinggi.
“Pertumbuhan yang dijana melalui hutang adalah tidak mapan. Hutang isi rumah kini berbanding KDNK adalah 90 peratus. Tertinggi sepanjang masa buat Malaysia,” katanya.
Selain itu Shamsiah berkata moratorium menyeluruh akan menjejaskan kepentingan berjuta pendeposit serta pemegang taruh yang melabur dalam dana seperti Amanaj Saham Bumiputera (ASB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, dan KWAP.
Malah Shamsiah berkata tahap keyakinan dan kepercayaan kepada institusi perbankan akan terjejas teruk selain kestabilan sektor itu akan rapuh untuk jangka panjang.
Bagaimanapun rakyat sangat berharap moratorium itu disambung lagi bagi meringankan bebanan kewangan yang ditanggung pada masa ini apabila ramai yang kekurangan pendapatan dan ramai juga kehilangan pendapatan.
Di tengah-tengah kehendak orang ramai dan pihak bank, terdapat orang politik. Orang politik pula terbahagi kepada dua kelompok iaitu yang prorakyat dan probank.
Prorakyat sudah tentu hujahnya bahawa rakyat perlu dibantu situasi getir ini, manakala yang probank mereka berhujah aspek ekonomi yang akan menjejaskan bank.
Bank yang menjadi tonggak ekonomi negara tidak boleh runtuh kerana ia akan menghancurkan terus negara.
Bagaimanapun orang politik yang prorakyat kini bukan sahaja berada di kem pembangkang semata-mata, kini turut berada di pihak pemerintah.
Individu yang lantang memperjuangkan isu ini ialah Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga bekas Perdana Menteri.
Kedudukan kerajaan di Dewan Rakyat pula hanya berkelebihan dua sokongan, jika dua sokongan beralih arah, maka belanjawan tidak akan dapat diluluskan.
Jadi kemungkinan belanjawan yang dipinda mengikut kehendak orang politik dan rakyat adalah tinggi, tetapi pada masa yang sama kita tidak dapat menafikan kebimbangan ekonomi akan runtuh jika tidak dikendali dengan baik oleh kerajaan.
Yang sebaiknya dalam situasi getir ini pihak kerajaan dan pembangkang duduk semeja dan merancang langkah yang paling baik untuk rakyat dan negara. SM
BN kena guna Parlimen pastikan Belanjawan 2021 ikut kehendak rakyat – Najib
You must be logged in to post a comment.