[VIDEO] Lelaki pandu melulu tanpa lesen disiasat cubaan membunuh

KUALA KANGSAR: Seorang lelaki disiasat atas cubaan membunuh akibat memandu secara melulu bagi melarikan diri selepas disyaki mengelakkan sekatan jalan raya (SJR), di sini, malam tadi.

Polis berjaya menahan suspek berusia 37 tahun yang memandu kereta jenis PROTON Iswara itu selepas mengejar sejauh kira-kira dua kilometer.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata terdahulu suspek yang memandu dari arah Manong menghala ke Kuala Kangsar, berhenti di bahu jalan berdekatan SJR diadakan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berdekatan simpang kawasan perumahan Highland Park, dipercayai bagi mengelakkan pemeriksaan polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, katanya, suspek tiba-tiba memecut memasuki kawasan perumahan itu ketika dihampiri anggota polis.

Susulan itu, beliau berkata, polis bertindak mengejar sebelum kereta suspek merempuh sebuah motosikal ditunggang seorang wanita berusia 25 tahun.

“Namun, suspek masih enggan menghentikan keretanya. Malah dalam cubaan untuk meloloskan diri, suspek turut melanggar bahagian belakang sebuah kereta peronda polis yang memotong laluannya.

“Suspek kemudian mengundurkan kenderaan dan cuba merempuh sebuah lagi kereta peronda polis di belakang tetapi sempat dielak.

“Kereta suspek terbabas ke longkang bahu jalan sebelum memecut semula,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Omar Bakhtiar berkata, suspek akhirnya berjaya ditahan di Kampung Sungai Siput Hulu berdekatan kawasan perumahan Chandan Putri, di sini.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas suspek yang juga peniaga kecil-kecilan, tiada menemui sebarang bahan salah, manakala hasil saringan air kencing mendapati lelaki itu bebas pengaruh dadah.

“Namun, hasil siasatan awal mendapati suspek tiada lesen memandu dan cukai jalan kenderaan dipandunya sudah tamat tempoh.

“Hasil semakan juga mendapati suspek ada satu rekod tangkapan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, selain lapan saman atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, penunggang motosikal dilanggar suspek pula dilaporkan patah pergelangan tangan kanan serta luka kecil di badan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker