Penipuan SMS: 2 lagi direman, termasuk pegawai syarikat telekomunikasi

Dua lagi individu, termasuk seorang ketua pegawai teknologi sebuah syarikat telekomunikasi direman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah membabitkan penipuan sistem pesanan ringkas (SMS).

Majistret Siti Roslizawati Mohd Zanin mengeluarkan perintah reman selama 5 hari bermula hari ini sehingga 16 Nov terhadap kedua-dua lelaki berkenaan selepas mendengar permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini.

Ia menjadikan keseluruhan 6 individu direman berhubung siasatan kes itu setakat ini.

Menurut sumber SPRM, pegawai syarikat telco berusia 47 tahun dan ketua pegawai teknologi berusia 39 tahun itu ditahan antara pukul 2.34 petang dan 5.14 petang di Ibu Pejabat SPRM di sini semalam selepas hadir memberi keterangan.

Sumber berkata, pegawai syarikat telco dan ketua pegawai teknologi itu dipercayai memberi dan menerima wang rasuah untuk tujuan mendapatkan maklumat data peribadi pelanggan yang menggunakan pelan prabayar.

“Nombor telefon yang diperoleh akan digunakan oleh sindiket penipuan penyedia kandungan (content provider) dengan mengenakan bayaran langganan menerusi SMS tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pengguna,” katanya.

Semalam, seorang pegawai syarikat (telco) direman selama 5 hari sehingga 15 Nov ini berhubung kes sama.

Lelaki berusia 49 tahun itu disyaki menerima wang rasuah berjumlah RM300,000 secara berperingkat melalui akaun peribadinya daripada sebuah syarikat sebagai balasan mendapatkan senarai nombor telefon pelanggan yang menggunakan pelan prabayar dari 2017 hingga sekarang.

Pada Selasa, 3 pengarah syarikat, termasuk 2 bergelar ‘Datuk’ direman 5 hari hingga 14 Nov kerana disyaki memberi rasuah berjumlah jutaan ringgit kepada pegawai syarikat telco untuk mendapatkan nombor telefon pelanggan bagi tujuan penipuan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. FMT

Tiga termasuk dua bergelar Datuk direman bantu siasatan sindiket penipuan SMS

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker